Pencurian tanah secara kejam oleh Israel: Ahmad Faizal

Kenyataan yang dikongsi kepada media pada Sabtu.
Kenyataan yang dikongsi kepada media pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Lebih banyak tekanan perlu diberikan kepada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa berhubung isu pencerobohan tentera Israel ke atas Palestin.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak hanya cukup dengan mengutuk serangan, fakta bahawa penerokaan Israel dianggap sebagai tidak sah berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa mestilah dikuatkuasakan oleh masyarakat global.

Menurutnya, terdapat naratif kuat disebarkan media global bahawa konflik Israel-Palestin pada dasarnya adalah perang agama, namun kebenarannya agama dan politik dijadikan pelantar bagi mengaburi alasan sebenar iaitu pencurian tanah dan penolakan hak asasi manusia terhadap pemilikan tanah.

"Awal bulan ini, Mahkamah Agung Israel dijangkakan untuk membuat keputusan sama ada menyokong pengusiran keluarga Palestin dari kawasan Sheikh Jarrah bagi memihak kepada peneroka haram Israel.

"Orang-orang Palestin telah mendiami di Sheikh Jarrah sejak mereka ditempatkan semula di sana pada tahun 1950 oleh Jordan semasa penciptaan Israel pada tahun 1948.

"Walaupun mahkamah-mahkamah di Israel mengakui dan memperkasakan status undang-undang peneroka Israel, ianya mesti diingatkan bahawa PBB mempunyai banyak resolusi yang mengecam penerokaan Israel sebagai tidak sah dan melanggar Konvensyen Geneva Keempat," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi kepada media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, selama ini dunia hanya memerhatikan perjuangan rakyat Palestin dalam mendapatkan kembali hak dan pembebasan negara mereka.

Sedangkan katanya, terdapat keganasan melampau dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat negara itu, ia dibuktikan dengan jumlah kematian terbaru yang lebih daripada 100 orang di wilayah Gaza, termasuklah sembilan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat sivil global, adalah diharapkan kumpulan masyarakat sivil Malaysia dapat membantu mengembangkan lagi naratif bahawa isu sebenar bagi konflik tersebut adalah berkenaan pencurian tanah dengan paksaan yang kejam

"Lebih banyak tekanan perlu diberikan kepada negara-negara anggota PBB dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi yang dibuat tidak terkira banyaknya.

"Pencurian tanah dan harta benda Palestin akan berlanjutan sehingga tidak ada lagi tanah untuk dicuri," katanya.