Polis tumpas sindiket curi kenderaan mewah

Pelbagai peralatan dan barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
Pelbagai peralatan dan barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan mewah dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis perniagaan di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu kira-kira jam 9.30 pagi.

"Kejadian tersebut disedari pengurus premis perniagaan tersebut apabila mendapati mangga pada pintu besar premis telah tiada dan pintu masuk telah dirosakkan.

"Keadaan premis serta pejabatnya juga dalam keadaan berselerak selain sebuah kenderaan dan pelbagai harta benda telah dicuri," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes itu diberkas di Batu Caves pada Rabu.

"Suspek yang ditahan berumur 31 tahun dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Hasil siasatan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan IPD Gombak telah membuat serbuan di beberapa buah kediaman di sekitar Batu Caves," katanya.

Menurutnya, pihak polis berjaya merampas dua buah kenderaan dan pelbagai barangan yang dipercayai telah dicuri.

Artikel Berkaitan:

"Antara dirampas dua buah kereta jenis Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai RM700,000, sebuah motosikal dan pelbagai barangan lain.

"Suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan beberapa lagi kes pecah premis perniagaan dan curi kenderaan mewah di sekitar kawasan Kelana Jaya, Petaling Jaya," katanya.

Tambahnya, suspek turut mengaku telah melarikan diri dari pengawasan POCA di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Dungun, Terengganu.

"Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Jelasnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dikenali sebagai Aris.

"Polis meminta kerjasama semua lapisan masyarakat khususnya di dalam daerah ini yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya memaklumkan kepada pihak polis IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan," katanya.