Malaysia terus salur sumbangan kepada Palestin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap semasa Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap semasa Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa.

"Melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020. Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

"Selain itu, bagi membantu kerajaan Palestin membendung wabak pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin membabitkan barangan perubatan, iaitu satu juta pelitup muka, 500,000 pelindung muka dan 500,000 sarung tangan getah," katanya sempena perutusan khas disiarkan secara langsung di Facebook Perdana Menteri pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Palestin: Malaysia sokong 'Penyelesaian Dua Negara'

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei lalu.

Katanya lagi, bagi tahun 2020, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun 2020.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978 dan sejak tahun 2015, Malaysia menyumbang sebanyak AS$600,000 kepada pertubuhan itu.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat yang sentiasa membantu Palestin.

"Sehubungan itu, saya menyeru supaya teruskan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini. Segala usaha dan sumbangan saudara dan saudari semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel. Semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Serangan Israel ke atas Palestin cabul undang undang antarabangsa: PM