Desakan letak jawatan: Ahmad Faizal tidak tertekan

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan pada majlis Pengumuman Model Strategi Perniagaan Baharu 2019 MAPS di sini.
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan pada majlis Pengumuman Model Strategi Perniagaan Baharu 2019 MAPS di sini.
A
A
A

IPOH - Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan sebarang keputusan kepada pucuk pimpinan parti berhubung desakan beberapa pihak supaya beliau meletakkan jawatan.

Katanya, kesemua pemimpin yang dilantik ke jawatan itu dibuat oleh kepimpinan pusat termasuklah ketua bahagian.

Beliau berkata, kuasa untuk membubar atau mengekalkan individu memegang jawatan itu terletak pada keputusan pucuk pimpinan memandangkan sehingga kini Bersatu masih belum melalui proses pemilihan parti.

"Sedih juga kawan-kawan saya suruh letak jawatan. Tapi saya yakin seperti diri saya, mereka juga dilantik oleh kepimpinan dan bagi Bersatu kita masih belum melalui proses pemilihan parti.

"Jadi buat masa sekarang ini semua ketua bahagian termasuk diri saya ada lantikan daripada kepimpinan pusat maka mereka juga berhak untuk sama ada membubarkan atau mengekalkan. Kita serahkan kepada mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Model Strategi Perniagaan Baharu 2019 Taman Tema Filem Animasi Studio (MAPS), di MAPS Theatre, Bandar Meru Raya, di sini.

Sementara itu, menurutnya, semua pemimpin Bersatu perlu berjiwa besar dan tidak menyalahkan pucuk pimpinan di atas keputusan yang dibuat untuk melantik atau membubarkan mana-mana jawatankuasa bahagian.

Ditanya sama ada beliau tertekan dengan desakan itu, Ahmad Faizal tiada masalah dengan tindakan itu kerana sudah melaluinya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya ok. Saya ini kerap orang suruh letak jawatan daripada mula-mula saya jadi pengerusi Bersatu dulu sewaktu belum kita tubuhkan kerajaan pun dah biasa orang sebut. Jadi fokus saya tetap kekal untuk menjalankan tanggungjawab saya.

"Saya akan buat seikhlas yang mungkin. Saya bukan orang sempurna, tentu ada kelemahan tetapi saya yakin kepada mereka yang mendokong sepenuhnya semangat perjuang parti akan membantu saya dari segi segala kelemahan yang ada dan memperkuatkan parti agar kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Mengenai dakwaan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman bahawa kemungkinan bekas pemimpin UMNO akan dilantik di dalam jawatankuasa bahagian Bersatu, beliau berkata, sebagai orang luar parti tidak layak sebenarnya untuk menentukan masa depan Bersatu.

Katanya, Bersatu Perak tidak akan melayan dan mengambil berat terhadap pandangan mana-mana individu yang telah meninggalkan parti.