Warga emas beri alasan ziarah kawan sakit diarah patah balik

Chang Hook ketika memeriksa sebuah kenderaan di SJR di Kampung Baru Rompin pada Sabtu.
Chang Hook ketika memeriksa sebuah kenderaan di SJR di Kampung Baru Rompin pada Sabtu.
A
A
A

JEMPOL- Ingin menziarahi rakan yang sakit di pekan Rompin di sini merupakan alasan diberi oleh seorang warga emas ketika cuba merentas daerah semasa ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 1 Kampung Baru Rompin, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, warga emas lelaki berusia kira-kira 65 tahun itu dari Gemencheh, Tampin memberi alasan tidak munasabah dan diarah berpatah balik.

"Dia antara 10 individu yang diarahkan berpatah balik dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei lepas.

"Selepas mendapati alasan diberi tidak munasabah, kesemua mereka yang ditahan juga diarah berpatah balik ini kerana tiada surat kebenaran rentas daerah," katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan pemeriksaan rumah ke rumah sekitar pekan Bahau di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jempol merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana daerah (JKPBD), Syahrul Nizam Saleh.

Sementara itu, Chang Hook berkata, berdasarkan tinjauan di sekitar kawasan perumahan di Jempol mendapati tiada sebarang aktiviti atau orang ramai berkumpul di luar rumah.

"Kadar pematuhan penduduk di kawasan perumahan di sini berada pada tahap tinggi dan tiada sebarang aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita berharap pematuhan SOP ini berterusan sehingga PKP tamat dan menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan komited dalam mematuhi SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 33 pasukan pematuhan SOP terdiri daripada 42 anggota termasuk pegawai polis akan melakukan pemantauan SOP PKP di sekitar Jempol dalam masa satu hari.