Kerajaan digesa desak PBB henti pertembungan di Palestin

N Balasubramaniam
N Balasubramaniam
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menggesa kerajaan Malaysia supaya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera menghentikan penindasan rejim Israel terhadap Palestin agar tidak berlarutan.

Ketua DHPP, Senator N Balasubramaniam berkata, penderitaan panjang umat Islam Palestin tidak harus dibiarkan berlarutan.

"DHPP mengikuti perkembangan yang sedang berlaku di Palestin ketika ini. Kesengsaraan penduduk Palestin yang menghadapi penindasan dan serangan oleh rejim Israel tidak dapat diterima masyarakat dunia sehingga ratusan nyawa tidak berdosa terkorban.

"Sikap tentera Zionis yang berterusan menindas penduduk Palestin sangat mengecewakan kami. Lebih malang lagi apabila premis seperti sekolah, bangunan kerajaan dan tempat kediaman menjadi sasaran keganasan tentera Zionis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Balasubramaniam yang juga Ahli Dewan Negara berkata, DHPP turut melancarkan rayuan sumbangan Dana Kecemasan Palestin bagi membantu rakyat di negara terbabit.

Menurutnya, DHPP Negeri dan Wilayah juga sudah diarahkan untuk menggerakkan usaha sama bagi mengumpulkan dana sebelum semua sumbangan itu diserahkan kepada Aid4Palestine.

"Semoga usaha murni kita yang sedikit ini akan meringankan penderitaan penduduk Palestin," katanya.

Artikel Berkaitan: