Sampel spesimen mangsa diambil pada hari tragedi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar perbicaraan kes kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberitahu bahawa spesimen tulang, darah dan air kencing milik mangsa kebakaran telah diambil pada hari sama kejadian itu berlaku

Ketua Unit Siasatan Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman Asisten Superintendan Khairil Idzwan Ahmad, 42, berkata, spesimen tersebut yang diambil oleh beberapa pegawai perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian telah diserahkan kepadanya untuk tindakan lanjut, juga pada hari sama.

“Pada hari sama saya telah menerima sampel-sampel spesimen mangsa iaitu spesimen tulang, darah dan air kencing. Turut diterima adalah cebisan baju mangsa,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz pada perbicaraan kes itu hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Dua tong gas ditemui]

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-36 itu yang ketika kejadian adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju berkata, beliau telah menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 6.30 pagi 14 September 2017.

Saksi itu berkata beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada 7.15 pagi sebelum mengarahkan anggotanya mengiringi mayat mangsa ke Jabatan Forensik HKL.

Pendakwaan turut dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Artikel Berkaitan:


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - Bernama