OIC bincang tindakan keganasan Israel esok

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar secara maya pada esok.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa di wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds Al Shareef.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan beliau akan mewakili Malaysia dalam mesyuarat tersebut bagi menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin dan rakyatnya.

“Saya akan mengambil kesempatan menerusi pertemuan esok bagi menyampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia agar OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erwan dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bersama mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kami bertiga mahu Israel menghentikan serta-merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Israel guna gas beracun di Gaza

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Konflik Israel-Palestin merebak ke Tebing Barat