Tuan rumah dikompaun anjur rumah terbuka

Mior Faridalatrash ketika sidang akhbar sempena lawatan kerja di sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Plaza Tol Ipoh Utara di Jelapang, pada Sabtu.
Mior Faridalatrash ketika sidang akhbar sempena lawatan kerja di sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Plaza Tol Ipoh Utara di Jelapang, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki dikenakan kompaun selepas mengaku menganjurkan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Tanjung Malim, pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan dilakukan sebaik menerima aduan daripada orang ramai terdapat sekumpulan individu di rumah lelaki berusia 31 tahun itu.

"Setibanya di rumah itu pada jam 5.45 petang, memang tiada orang tetapi dia mengakui menganjurkan rumah terbuka untuk rakan-rakannya.

"Kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000. Bagaimanapun dia boleh merayu dalam tempoh seminggu ini," katanya ketika sidang akhbar sempena lawatan kerja di sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Plaza Tol Ipoh Utara di Jelapang di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut mengesan pasangan yang menyalahgunakan permohonan merentas negeri untuk balik kampung.

"Kita mengesan terdapat permohonan rentas negeri untuk balik berjumpa isteri. Kita meluluskan tetapi pada pemeriksaan SJR, mereka sebenarnya berada sekali dalam kenderaan.

"Saya nasihatkan orang ramai untuk tidak salah gunakan permohonan. Dalam kes ini, mereka dikenakan kompaun dan diarah untuk berpatah balik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mior Faridalatrash memeriksa kenderaan yang melalui Plaza Tol Ipoh Utara di Jelapang, pada Sabtu.
Mior Faridalatrash memeriksa kenderaan yang melalui Plaza Tol Ipoh Utara di Jelapang, pada Sabtu.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Rabu lalu mencapai kepatuhan 96 peratus dengan 116 kompaun dikeluarkan.

"Bagi tempoh sama, Polis Perak menerima sebanyak 8,807 permohonan rentas negeri dan daerah, namun 160 permohonan tidak diluluskan.

"Permohonan yang tidak diluluskan ialah atas alasan sosial seperti menziarahi saudara mara, menghadiri kenduri serta melawat tanah," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 331 kenderaan telah diarah berpatah balik di SJR lebuh raya dan jalan persekutuan.

"Sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran," katanya.