X

Kindly register in order to view this article
!

Kematian Haziq bukan kerana vaksin Covid-19

Haziq Kamaruddin
A
A

[DIKEMASKINI] KEMATIAN mengejut atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin, 27 semalam disahkan bukan berpunca akibat proses vaksinasi Covid-19, tetapi akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

Pengesahan itu dibuat oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik yang juga Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Zahari Noor setelah proses bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Kajang, pada Jumaat.

“Kematian mengejut Allahyarham Haziq Kamaruddin, atlet pemanah negara yang dibawa ke Hospital Kajang semalam telah disiasat dibawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. Arahan bedah siasat telah dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan (swab test) Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut,”katanya menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal.

"Namun sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hormati pemergian Haziq, jangan buat spekulasi: Reezal

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kesal apabila ada pihak yang cuba mengaitkan kematian atlet memanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin, 27, dengan pengambilan vaksin Covid-19.

Katanya, tindakan berkenaan dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bertanggung jawab dan tidak wajar ditimbulkan bagi menjaga perasaan ahli keluarga Allahyarham yang sedang bersedih ketika ini.

Menurut Reezal Merican, beliau dan Allahyarham Haziq selain Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah mengambil vaksin yang sama dan divaksinkan bersama 242 atlet lain April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemanah negara, Haziq Kamaruddin meninggal dunia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!