Usah perlekeh usaha rakyat Malaysia pertahankan Palestin: Najib

Najib memuat naik hantaran berkaitan Palestin menerusi Facebook beliau pada Sabtu.
Najib memuat naik hantaran berkaitan Palestin menerusi Facebook beliau pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta supaya usaha dilakukan rakyat Malaysia untuk mempertahankan Palestin tidak diperlekehkan.

Ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya bangga terhadap usaha rakyat negara ini yang tanpa henti menterjemah kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Saya minta, usahlah diperlekeh usaha rakyat Malaysia ini terutama dalam mempertahankan saudara Islam mereka di Palestin,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.

Najib turut berterima kasih kepada individu dikenali dengan nama Ustaz Ad-Dien yang turut menggerakkan usaha tersebut.

“Saya bangga dengan usaha ini apatah lagi ia turut menerima sokongan dari pelajar kita di seluruh dunia yang menterjemah mengikut bahasa di tempat mereka belajar.

“Tahniah buat Ustaz Ad-Dien yang menggerakkan usaha ini. Saya difahamkan selain pelajar, peminat-peminat K-pop turut bantu terjemah bagi memastikan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin sampai ke setiap pelusuk dunia dalam pelbagai bahasa,” katanya.

Najib berkata, usaha tersebut bagi memastikan kezaliman terhadap rakyat Palestin dapat difahami seluruh dunia di sebalik usaha media barat yang berterusan melabelkan Palestin sebagai pengganas.

Dalam pada itu, Najib turut berkongsi mengenai Imam Besar Masjid Al-Aqsa yang datang ke Malaysia untuk melawat beliau pada April 2018.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kunjungan itu, katanya, Imam berkenaan menyampaikan surat penghargaan buat semua rakyat Malaysia yang menghargai komitmen serta sokongan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin dari cengkaman rejim Zionis.

“Saya katakan masa itu, umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.98 bilion dan ia boleh menjadi suara besar di pentas antarabangsa.

“Pada Januari 2013, saya sendiri berjaya mengelak sekatan tentera Israel untuk menjejak kaki di Gaza melalui negara Mesir dan bertemu dengan Perdana Menteri kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh. Menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia ke sana,” katanya.

Ujar Najib, pada masa itu Ismail Haniyeh berkata, lawatan beliau adalah yang julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri asing yang bukan dari negara Arab, ke Gaza.

Malah, beliau sendiri dapat melihat sendiri kemusnahan yang dilakukan terhadap negara itu.

“Saya sangat sedih dengan keadaan didepani rakyat Palestin. Pada saya, apa yang diperjuangkan rakyat Palestin adalah lebih besar apatah lagi dalam memelihara Masjid Al-Aqsa bagi semua umat Islam.

“Sekali lagi, saya gesa masyarakat dunia untuk terus mengutuk perbuatan zalim dan keganasan ini yang berterusan meragut nyawa rakyat Palestin,” katanya.

Tambah Najib, sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, berulang kali beliau menegaskan mengenai kezaliman terhadap rakyat Palestin termasuk ketika Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, banyak bantuan dan inisiatif kebajikan serta pembangunan dimulakan dan dihulurkan oleh kerajaan Malaysia bagi saudara Islam di sana.

“Bukan sekadar bermodal air liur sahaja. Tetapi selepas kerajaan bertukar-tukar sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya nampak usaha kerajaan Malaysia untuk membantu dan membangkit isu Palestin semakin berkurang berbanding dahulu.

“Apa yang kita buat untuk mereka sejak tahun 2018? Kini kemampuan saya untuk bantu sudah terhad,” katanya.

Beliau berkata, hanya mampu berdoa untuk mereka dari jauh dan berharap dari dekat bahawa kerajaan Malaysia hari ini masih peka dengan isu Palestin.

“Jangan hanya sekadar ‘talk’ sahaja. Tetapi kita kena ‘walk the talk’,” ujarnya lagi.