Kerajaan akan terus perkasakan belia: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan terus membantu golongan muda melalui usaha pemerkasaan belia ke arah pembangunan modal insan yang lestari dan berinovasi tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai inisiatif sudah dijalankan khususnya untuk belia melalui pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

“Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif khusus untuk belia di bawah Inisiatif ke-19: Prihatin Belia.

“Kesemua usaha ini bagi memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan sentiasa kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa golongan belia,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2021 pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, pihaknya turut menyokong inisiatif pendigitalan dengan menubuhkan Program e-Belia yang bertujuan menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia.

Beliau berkata, melalui program berkenaan, setiap pemohon yang layak boleh menebus kredit e-wallet sebanyak RM150 menerusi aplikasi e-wallet yang terpilih.

“Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada dua juta belia dan mahasiswa berumur 18 hingga 20 tahun atau menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dengan peruntukan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam merangka Model Pembangunan Belia Baharu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, model tersebut bertujuan sebagai pelengkap bagi menyokong dan menambah baik mekanisme Dasar Belia Malaysia 2015-2035 sedia ada.

“Ini selari dengan dasar dan polisi terkini seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goals,” katanya.

Muhyiddin menambah, usaha KBS untuk memartabatkan pekerja belia melalui pengiktirafan profesion juga merupakan antara inisiatif jangka panjang yang dapat memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang kondusif.

“Ini dilakukan melalui peningkatan kemahiran pekerja belia ke peringkat profesional selain memberi nilai tambah kepada penggiat belia sebagai agen yang membawa ke arah perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.