Final di Kaherah tonik terbaik untuk Farah Ann

Farah Ann
Farah Ann
A
A
A

SELEPAS lebih setahun tidak bersaing dalam sebarang pertandingan disebabkan penularan pandemik Covid-19, Piala Cabaran FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) di Kaherah, Mesir bulan depan tersedia sebagai pentas untuk gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi menguji prestasi diri.

Kali terakhir ratu gimnastik artistik negara itu bersaing secara kompetitif ialah pada Sukan SEA Manila 2019 yang menyaksikan beliau merangkul tiga pingat emas dalam acara all-around individu, senaman lantai dan palang bertingkat.

Ketua jurulatih gimnastik artistik wanita kebangsaan, Ng Shu Wai percaya Farah Ann akan berjaya ke pentas akhir dalam acara all-around di Kaherah.

“Farah Ann akan mengambil bahagian dalam tiga disiplin iaitu palang bertingkat, kekuda pelana dan senaman lantai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas Olimpian itu menjangkakan Farah Ann tidak mempunyai masalah untuk meraih kejayaan di Kaherah yang pastinya membantu atlet kelahiran Selangor berusia 27 tahun tersebut membina momentum sebelum penampilan sulung Olimpik beliau di Tokyo pada Julai depan.

Menurut Shu Wai, menjelang Olimpik Tokyo itu, Farah Ann akan menyertai beberapa pertandingan dalaman sebelum berlepas ke Jepun untuk bersaing di temasya pelbagai sukan terbesar dunia tersebut.

Farah Ann menjadi atlet gimnastik artistik pertama Malaysia yang layak ke Olimpik dalam tempoh 20 tahun selepas beliau menamatkan sesi kelayakan disiplin all-around individu di Kejohanan Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman di tempat ke-16 daripada 20 gimnas.

Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shu Wai mengesahkan Farah Ann tidak akan 'bersendirian' pada kejohanan di Kaherah kerana beliau turut diiringi oleh dua lagi gimnas, Tan Ing Yueh dan Geanie Ng Ee Ling.

Ing Yueh akan bersaing dalam disiplin melombol, palang bertingkat serta kekuda pelana sementara Geanie pula dalam acara melombol dan senaman lantai, kata jurulatih berusia 35 tahun itu.

Piala Cabaran FIG dijadualkan dari 3 hingga 6 Jun ini di Cairo International Stadium. - Bernama