Polis tahan warga Myanmar anjur jamuan

Tangkap layar video tular berhubung pelanggaran SOP PKP yang membabitkan sekumpulan warga asing.
Tangkap layar video tular berhubung pelanggaran SOP PKP yang membabitkan sekumpulan warga asing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dan mengesan sekumpulan warga asing yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan jamuan makan di Sungai Sekamat, Kajang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki itu ditahan selepas pihaknya mengesan dua video tular berhubung pelanggaran SOP PKP yang membabitkan sekumpulan warga asing.

"Lelaki berkenaan mengaku mengadakan majlis itu pada 13 Mei dan kita masih mengesan individu yang hadir ke majlis berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes Inspektor Zazali Kenek di talian 019 2990062,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) (Pindaan 2021) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 36 saat memaparkan sekumpulan lelaki disyaki warga asing menganjurkan jamuan makan di media sosial, dan video itu mendapat kecaman serta kritikan warganet. - Bernama

Artikel Berkaitan: