Virus India, Afrika paling ganas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu Covid-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian lebih tinggi.

Malah, kadar kes harian baharu dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan empat varian berkenaan sebagai varian yang membimbangkan (VOC) di peringkat global.

Menurut Dr Noor Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah varian Afrika Selatan (varian B.1.351.).

Katanya, kes Covid-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif dikesan melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351. sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini melibatkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama

“Kes B.1.617.2 melibatkan bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan kedua-dua ujian Covid-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif. Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021,” katanya.

Mengenai varian Brazil, Dr Noor Hisham berkata, KKM setakat ini masih belum mengesan kes jangkitan varian berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 Januari 2021, KKM memaklumkan mengesan satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 melibatkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020.

Dr Noor Hisham turut menekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan adalah antara usaha untuk mengekang penularan varian baharu yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan Covid-19 menyebut “Malaysia kini berada pada titik genting dan penularan varian baharu harus disekat. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”Sepanjang tempoh 8 Mei hingga 13 Mei 2021, Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 melebihi 3,000 dan menghampiri 5,000 kes di samping kes kematian yang tinggi.

Dr Noor Hisham pada Selasa lalu turut menyatakan KKM sedang cuba menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) berikutan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

Katanya, permintaan untuk katil ICU dijangka bertambah sehingga lebih 1,700 unit dengan jangkaan kes harian baharu meningkat pada akhir Mei atau pertengahan Jun depan.

Menurut beliau, terdapat sebanyak 734 katil ICU di seluruh negara dan setakat ini lebih 500 buah katil sudah digunakan termasuk untuk pesakit Covid-19.

Laporan harian Dr Noor Hisham mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Covid-19 di Malaysia turut menunjukkan masih ada kluster baharu dikesan dan kluster tempat kerja masih membiak kes positif yang banyak di samping kluster komuniti.Sehingga 14 Mei 2021, sebanyak 13 lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster yang direkod dalam negara sebanyak 1,861 kluster. Sebanyak 1,400 kluster dilaporkan tamat dan masih aktif sebanyak 461 kluster. - Bernama