Mesyuarat sahaja dalam talian

No Image Caption
A
A
A

ALHAMDULILLAH, selepas dua ujian swab dilakukan dan keputusannya negatif, hari ini saya ditamatkan kuarantin di rumah. Tertekan juga sebenarnya kena kuarantin di rumah, lebih-lebih lagi pada hari raya.

Walaupun tidak boleh ke mana-mana tetapi sekurang-kurangnya boleh juga naik kereta ronda-ronda ambil angin. Ataupun, kalau isteri suruh pergi beli air batu, saya boleh pergi tanpa risau di-tularkan dalam media sosial.

Tetapi disebabkan gelang pink, maka terpaksa duduk termenung di rumah sahaja. Isteri pun mengeluh apabila semua benda dia kena buat. Kalau sebelum ini pergi beli barang dapur, ke pasar, keringkan baju di dobi dan beli makanan kucing, saya yang buat tetapi disebabkan saya dikuarantin, terpaksa isteri mengambil alih.

“Letihnya, nak masak untuk raya, nak pergi beli barang dapur lagi,” kata isteri saya mengeluh.

Saya hanya angguk-angguk bersimpati sahaja.

“Kalau awak tak kena kuarantin, boleh juga tolong saya pergi beli barang. Bahu saya dah lenguh-lenguh” kata isteri saya lagi sambil menjeling tajam dengan penuh makna meminta saya urutkan bahunya nanti.

Sekali lagi saya angguk-angguk prihatin dan hari ini saya bersyukur kerana telah dibebaskan. Maka, hargailah kebebasan anda sementara masih bebas. Kebebasan kita boleh direnggut bila-bila masa jika kita menjadi mangsa disebabkan orang lain yang positif.

Namun, kita tidak boleh salahkan mereka yang positif kerana kita juga mungkin boleh menjadi penyebab orang lain pula menjadi mangsa jika kita tidak berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

Berperang dengan musuh yang tidak kelihatan, semua boleh terjadi.

Paling penting, kita kena amalkan penjarakan fizikal, pakai topeng muka dan basuh tangan sekerap mungkin.

Minggu depan saya sudah mula bekerja dan kebiasaannya akan menggunakan kenderaan awam. Saya pasti memang agak susah hendak mengawal mereka yang menggunakan kenderaan awam untuk mematuhi prosedur ditetapkan terutama apabila berebut tempat duduk. Biasanya saya akan guna tempat duduk di tepi sekali, letak beg di ruang sebelah yang lain pula untuk memberi peringatan supaya tiada yang berani duduk di sebelah saya tanpa jaga penjarakan fizikal.

Tetapi ada sahaja yang nampak kerusi kosong, hendak duduk juga bertempek. Tidak mahunya mereka biarkan kerusi tersebut kosong. Selagi boleh menyelit, mereka akan menyelit, maka terpaksalah saya menjarakkan diri dengan bangun dan berdiri sahaja.

Dalam keadaan pandemik yang nampaknya masih teruk, terpaksalah kita harungi sahaja dengan penuh reda. Entah bila akan selesai.

Saya sebenarnya hendak mencadangkan diwajibkan melakukan mesyuarat dalam talian, tidak kiralah sewaktu kita PKP, PKPB dan PKPP. Sebab saya melihat apabila status bertukar kepada PKPB, maka dilonggarkan pula syarat boleh mesyuarat bersemuka.

Eloknya, selagi ada kes yang tidak kunjung turun, maka molek di-buat mesyuarat secara tidak bersemuka.

Bukan apa, takut jadi macam saya. Disebabkan orang lain positif, kita pula menjadi kontak rapat yang perlu dikuarantin.

Saya ada beritahu pegawai yang terlibat dengan memanggil mesyuarat. Kata saya, selepas ini saya tidak mahu hadir mesyuarat secara bersemuka selagi kes tidak turun kepada dua angka. Elok dibuat dalam talian dan jika perlu memberi maklum balas minit mesyuarat, saya akan emel sahaja.

Saya berharap jangan diubah prosedur hanya disebabkan bertukarnya status kepada PKPB, maka terus boleh mesyua-rat bersemuka. Elok digalakkan mereka untuk memanfaatkan sahaja sistem dalam talian.

Pada masa yang sama, naik taraf sistem capaian internet dengan lebih menyeluruh sepatutnya sudah dilakukan terutama di kawasan yang liputannya suam-suam kuku.

Sudah hampir dua tahun kita dalam pendemik, masakan tidak boleh berfikir lagi apa yang perlu dibuat untuk menghadapi norma baharu ini.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com