Krisis berlaku kerana kurangnya komunikasi

No Image Caption
A
A
A

ALHAMDULILLAH, walaupun beraya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita masih lagi boleh mengharunginya. Apa yang jelas, PKP kali ini lagi keras kerana tidak dibenarkan langsung tradisi kunjung-mengunjung berbanding sedikit kelonggaran tahun lalu.

Pun begitu, seperti biasa rakyat Malaysia akur dengan ketetapan tersebut walaupun ramai secara sinis mempertikaikan arahan PKP menerusi pelbagai platform media baharu.

Sejujurnya, isu beraya bukanlah perkara paling besar dalam mendepani cabaran Covid-19. Perkara paling besar adalah isu kesatuan pemikiran dan tindakan antara pemerintah dan rakyat. Jika tiada jalinan baik antara pemerintah dan rakyat, selagi itulah kita akan berterusan dengan PKP. Justeru, jurang antara pemerintah dan rakyat perlu dirapatkan menerusi kaedah reconciliation atau perdamaian yang boleh diterima secara bersama.

Sebetulnya, negara kita adalah umpama bahtera yang besar. Bagi menempuh pelayaran yang panjang, kita bukan sahaja perlu menyediakan kapal yang hebat, kukuh dan canggih, bahkan perlukan ‘perdamaian’ antara pengendali kapal serta semua penumpang dalam bahtera berkenaan.

Malah, ‘perdamaian’ sesama penumpang juga perlu diperkukuhkan kerana dalam kalangan mereka, ada yang berada dalam kluster kayangan iaitu berada di dek kapal paling atas dan kluster marhein yang berada di dek kapal paling bawah serta berdekatan pula dengan kelompok binatang dan bekalan keperluan yang dibawa bersama sepanjang pelayaran tersebut.

Lazimnya, setiap kali pelayaran akan ada gelombang besar perlu ditempuhi. Sehingga kini, bahtera kita telah mengharungi tiga kali gelombang Covid-19 dan akan berdepan pula dengan gelombang yang keempat. Jika diingati semula sewaktu bahtera kita mendepani gelombang Covid-19 pertama, semuanya berjalan dengan baik dan kukuhnya kerjasama. Boleh dikatakan semua ‘penumpang’ bersatu padu bersama ‘kapten’ dan pasukannya menangani gelombang itu sehingga mencecah satu kes sahaja sehari.

Namun, untuk pelayaran seterusnya, bahtera kita nampak semakin senget dan tidak bermaya kerana ‘perdamaian’ antara kapten kapal dan pasukannya serta sesama penumpang mula goyah. Jika berterusan begitu, boleh bertahankah bahtera kita untuk ke destinasi? Persoalannya, bagaimana hendak kembalikan semula perdamaian tersebut seperti sebelum ini?

Teringat saya, salah satu pendekatan kaunseling bagi menangani klien yang berkrisis dengan pasangan-nya adalah menerusi teknik miracle questions atau soalan ajaib. Apabila klien saya ditanyakan soalan: “Sepanjang krisis dengan pasangan anda, adakah terdapat kenangan indah sebelum ini? Lazimnya, klien akan menjawab ada. Kemudian, saya meminta mereka menceritakan kenangan indah bersama sebelum krisis menurut perspektif masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Natijahnya, selepas sesi kaunseling, mereka mula menyedari krisis itu berlaku kerana kurangnya komunikasi dan mendorong jurang kepercayaan sesama mereka semakin melebar. Begitu jugalah yang berlaku sekarang. Jika teknik soalan ajaib digunakan, sudah tentu jawapan sama diperoleh iaitu kurangnya kepercayaan akibat jurang komunikasi melebar. Ia bermakna, perdamaian antara pemimpin dan rakyat serta sesama mereka hanya boleh dicapai menerusi nilai kepercayaan.

Undang-undang yang ketat tidak memadai untuk membina kepercayaan rakyat, malah akan wujud penentangan dari masa ke masa. Apa yang boleh dilakukan adalah tindakan pemerintah yang berhemah, konsisten dan tidak berpilih-pilih dalam melaksanakan sesuatu dasar. Kapten kapal dan pasukannya perlu kerap meninjau penumpang di dek kapal yang bawah. Jangan nanti ada rakyat yang sanggup karamkan bahtera kerana kecewa berpanjangan. Semoga bahtera kita tidak karam di tengah lautan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis