X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Varian baharu lebih bahaya

A
A

SHAH ALAM - Pakar virologi melahirkan kerisauan mereka mengenai potensi berlakunya penularan varian baharu Covid-19 yang tidak terkawal sehingga boleh menyebabkan peningkatan kadar jangkitan dan kematian di dalam negara.

Pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, meskipun kes varian baharu yang direkodkan masih kecil dan terkawal namun kerajaan dan masyarakat tidak seharusnya mengambil ringan perkembangan tersebut.

Katanya, selain sifat varian tersebut yang didapati lebih berbahaya daripada virus asal, situasi semasa penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia juga menjadi antara faktor yang menyebabkan ia lebih berbahaya berbanding virus Covid-19 yang asal.

“Ini kerana kes jangkitan sporadik yang kita tidak tahu di mana asal usul jangkitan bermula semakin bertambah dalam komuniti.

“Apabila berlaku jangkitan sporadik melibatkan varian baharu seperti varian Afrika Selatan dan India, maka keadaan akan menjadi parah.

“Selain itu, kebimbangan yang utama juga adalah sekiranya varian baharu ini mula muncul dalam sektor perkilangan dan pembinaan yang sudah pasti akan memberi kesan yang teruk terhadap pertambahan jumlah kes Covid-19.

“Perlu diingatkan, dua sektor ini iaitu pembinaan dan perkilangan memberikan kesan yang sangat signifikan kerana menyumbang kepada lebih 60 peratus jangkitan Covid-19 di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah varian Afrika Selatan atau B.1.351. yang sehingga kini merekodkan sebanyak 62 kes.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, kes Covid-19 daripada jangkitan varian tersebut dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani

Di samping itu, varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini adalah membabitkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Dr Yahya berkata, varian baharu seperti varian Afrika Selatan tergolong dalam jenis varian yang membimbangkan (VOC). Ia antara lain membawa maksud virus itu memiliki potensi untuk melepasi saringan Covid-19 yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sekiranya varian baharu ini mula menular di dua sektor penyumbang terbesar jangkitan wabak berkenaan iaitu pembinaan dan perkilangan, tidak mustahil negara akan merekodkan kes harian Covid-19 sebanyak 7,000 ke 10,000 sehari.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, kadar kebolehjangkitan varian tersebut sukar dikawal jika kluster yang terjangkit adalah dalam kalangan kluster komuniti.

“Varian baharu seperti varian India boleh menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sekiranya kluster yang terjangkit adalah daripada kluster komuniti, jangkitan adalah sukar dikawal.

“Setiap individu dalam kluster komuniti biasanya melakukan pergerakan yang banyak jika dibandingkan dengan kluster daripada institusi-institusi seperti penjara, sekolah ataupun daripada tempat kerja yang melibatkan warga asing.

“Ini kerana mereka berada dalam ruang lingkungan yang tertutup dan sukar untuk dikawal,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!