Katil ICU HSNZ masih mencukupi tampung pesakit Covid-19

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) masih mencukupi untuk menampung serta merawat pesakit yang kritikal akibat Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, buat masa ini seramai 10 pesakit sedang menerima rawatan di unit berkenaan.

"Setakat ini keadaan di ICU HSNZ masih stabil yang mana ia boleh menampung sehingga 20 pesakit dalam satu-satu masa.

"Sehingga Jumaat, sebanyak 10 kes menerima rawatan di ICU HSNZ dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui maklumat dikongsikan di laman Facebooknya memaklumkan terdapat pertambahan 69 kes discaj, 165 kes baharu Covid-19 dan satu kes kematian direkodkan di Terengganu.

"Jumlah itu menjadikan terdapat 824 kes Covid-19 aktif di Terengganu dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 5,407 kes.

"Sebanyak 814 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa," katanya.

Selain itu, katanya, kes kematian ke 19 di negeri ini melibatkan kes 4,544 yang merupakan wanita berusia 63 tahun dengan sejarah penyakit jantung dan angin ahmar (stroke) dari Kuala Besut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes berkenaan hadir ke Hospital Besut pada 2 Mei 2021 setelah mengalami demam, cirit-birit dan gejala lain selama kira-kira lima hari.

"Pada 5 Mei lalu, mangsa mengalami kemerosotan fungsi pernafasan dan segera diberikan alat bantuan pernafasan serta dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut di ICU.

"Walaupun rawatan intensif berterusan telah diberikan, pesakit meninggal dunia pada pada 13 Mei 2021," katanya.

-