Jual pelekat kenderaan, plat: AMK sedia lapor polis

Dari kiri, Sholihi, Wan Ahmad Izuan, Chun Kuang dan Chin Wan menunjukkan imej yang didakwa sebagai pelekat kenderaan serta keahlian pertubuhan tersebut.
Dari kiri, Sholihi, Wan Ahmad Izuan, Chun Kuang dan Chin Wan menunjukkan imej yang didakwa sebagai pelekat kenderaan serta keahlian pertubuhan tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota akan membuat laporan polis berhubung aduan berkaitan aktiviti penjualan keahlian, plat dan pelekat kenderaan yang kononnya kebal undang-undang.

Ketua AMK cawangan tersebut, Wan Ahmad Izuan Wan Md Ali berkata, pihaknya menerima aduan orang awam yang telah menjadi ahli sebuah pertubuhan di sini, dengan bayaran RM700 dan memperoleh sekeping pelekat, plat kereta dan kad ahli.

Menurutnya, mangsa mendakwa, untuk menjadi ahli VIP adalah sebanyak RM1500 manakala ahli VVIP sebanyak RM3000 bermula 1 Oktober 2018.

“Pihak kami sedang berusaha mencari maklumat berkaitan dan akan membuat laporan polis secepat mungkin, setakat ini kami menerima satu aduan pembeli.

“Pertubuhan itu mendakwa kononnya dengan membeli plat, pelekat dan keahlian tersebut, akan mendapat perlindungan undang-undang seperti saman dan agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu di sini, hari ini.

Katanya, jika benar perkara itu berlaku, apakah yang dimaksudkan dengan kekebalan plat, pelekat dan keahlian tersebut.

"Adakah tawaran sebegini wujud dan dibenarkan undang-undang?

Artikel Berkaitan:

"Atau digerakkan oleh kumpulan penipuan?,” katanya.

Sehubungan itu Wan Ahmad Izuan mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian serta merujuk kesahihan terlebih dahulu.

Sementara itu, Naib I AMK Indera Mahkota, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya ada menghubungi nombor telefon yang tertera dalam iklan yang tular menerusi aplikasi Whatsapp berhubung tawaran jualan itu.

“Panggilan saya telah dijawab seorang yang berbangsa Cina dengan menyatakan penjualan ini dibuat oleh sebuah pertubuhan, yang sebelum ini dikaitkan dengan aktiviti gengster.

“Penjualan itu memang berlaku dengan tiga pilihan harga tersebut, tapi bila saya tanya betulkah akan selamat daripada undang-undang seperti sekatan jalan raya, dia kata tiada jaminan apa-apa dan harga keahlian sama seperti disebutkan itu.

Hadir sama, Setiausaha AMK Indera Mahkota, Su Chin Wan dan Naik AMK Indera Mahkota, Sholihi Ab Latif.

Sementara itu, tinjauan Sinar harian ke laman Facebook pertubuhan tersebut mendapati perkongsian kemas kini terakhir adalah pada 2013.