Netanyahu guna konflik di Palestin untuk kekal berkuasa

Benjamin Netanyahu - Foto AFP
Benjamin Netanyahu - Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Konflik terbaru Palestin dan Zionis Israel merupakan mainan politik Benjamin Netanyahu untuk kekal sebagai Perdana Menteri Israel.

Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata), Adzly Ab Manas berkata, sebagaimana yang diketahui, Netanyahu merupakan pemangku Perdana Menteri Israel buat masa kini.

“Ini kerana, beliau masih gagal mendapat mandat majoriti untuk menubuhkan kerajaan setelah hanya mampu mendapat 30 kerusi Parlimen daripada 120 kerusi dan untuk menubuhkan kerajaan, 61 kerusi diperlukan.

“Dengan mencipta krisis dan ketakutan rakyat Israel, maka ia akan memberi peluang kepada Netanyahu bahawa beliau sahaja yang mampu menyelamatkan Israel dari konflik peperangan antara Israel dan Bandar Gaza yang dikuasai pejuang Palestin.

“Ini adalah kerana beliau merupakan perdana menteri paling lama dalam sejarah kerajaan Israel sejak tahun 2009 sehingga mengakibatkan beratus rakyat Palestin dan enam warga Yahudi menjadi korban,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan peguam bela dan peguam cara berkata, dalam Perlembagaan, Israel hanya membenarkan empat minggu sahaja kepada parti-parti politik Yahudi dan termasuk parti kecil Arab untuk membentuk kerajaan baru Israel.

Tambah beliau, jika gagal maka pilihan raya baharu Israel perlu dilakukan sekali lagi.

Walau bagaimanapun, seluruh dunia mengutuk tindakan Netanyahu sebagai perdana menteri sementara yang mana beliau dengan jelas telah melanggar hak asasi manusia dan undang-undang dengan melakukan serangan kejam ketenteraan terhadap penduduk Gaza yang tidak bersalah.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpandangan bahawa tindakan beliau ini adalah tidak wajar dan adalah kejam hanya kerana ingin kekal berkuasa sebagai perdana menteri.

“Kita semua maklum bahawa Netanyahu kini sedang berdepan dengan pertuduhan rasuah dan dengan hanya kekal sebagai perdana menteri dan menukar Peguam Negara yang lebih simpati kepada beliau sahaja yang akan melindungi beliau daripada perbicaraan penuh di Mahkamah Israel,” ujarnya.