Hujan peluru di semenanjung Gaza semakin ganas

Tentera rejim Zionis bersedia untuk melancarkan artileri ke Genting Gaza dari kedudukan mereka di bandar Sderot di selatan Israel pada Jumaat. - Foto: AFP
Tentera rejim Zionis bersedia untuk melancarkan artileri ke Genting Gaza dari kedudukan mereka di bandar Sderot di selatan Israel pada Jumaat. - Foto: AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Semenanjung Gaza terus dihujani serangan udara di bawah Operasi Penjaga Tembok dilancarkan rejim Zionis pada Jumaat selepas konflik terbaru Israel-Palestin yang telah meragut lebih 100 nyawa penduduk Palestin.

Serangan masuk hari kelima itu tidak menunjukkan tanda ia akan reda.

Pada masa ini, kebimbangan komuniti antarabangsa semakin meningkat jika situasi bertambah buruk di Genting Gaza selepas tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan telah mara ke Gaza.

Pada lewat Khamis, akaun Twitter milik Kementerian Hal Ehwal Tentera Israel memaklumkan IDF melancarkan serangan darat di wilayah tersebut yang berada di bawah kepungan haram Israel sejak tahun 2007.

Jurucakap tentera rejim Zionis, Jonathan Conricus juga mengesahkan perkembangan itu tanpa memberikan jumlah sebenar anggota tentera yang terlibat kempen ketenteraan tersebut yang menyasarkan gerakan Hamas.

“Kami telah bersedia dan akan terus siap siaga untuk menghadapi pelbagai senario,” ujarnya sambil menambah kempen serangan darat adalah salah satu daripada senario tersebut.

Bagaimanapun, tentera rejim Zionis mengubah kenyataan itu kira-kira dua jam kemudian dan menegaskan ‘tiada tentera’ di Gaza dan menyalahkan kekeliruan itu kononnya berpunca daripada masalah komunikasi dalaman.

Menurut IDF, pasukan tentera mereka tidak mara ke sempadan Gaza dan hanya meningkatkan kempen serangan membabitkan jet pejuang dan kereta kebal yang menyasarkan rangkaian terowong rahsia milik Hamas.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Benny Gantz memberi lampu hijau kepada IDF untuk memanggil kira-kira 9,000 anggota tentera simpanan daripada unit tempur dan pengendali pusat perintah yang dipercayai sebagai persediaan untuk kempen serangan darat di Genting Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber tentera Lubnan memaklumkan tiga roket dilancarkan dari selatan Beirut ke Israel.

“Ia jatuh di Laut Mediterranean,” ujarnya sambil menambah sumber rapat gerakan Hizbullah menyatakan kumpulan terbabit tiada kaitan dengan kejadian tersebut.

Pada 2014, beberapa roket pernah dibedil dari selatan Lubnan ke utara Israel ketika Operasi Perlindungan Sempadan dilancarkan pada 2014.

Ketika ini, Tel Aviv turut berdepan pertempuran ganas antara kumpulan pelampau Yahudi dan penduduk Arab yang meliputi 20 peratus populasi di negara haram tersebut yang dikhuatiri akan mencetuskan perang saudara.

Hampir 1,000 anggota polis dikerah untuk mengawal insiden kekacauan di beberapa bandar itu yang menyaksikan lebih 750 individu telah ditahan. - AFP