Pematuhan SOP ziarah Aidilfitri memuaskan: Bukit Aman

PUTRAJAYA, 14 Mei -- Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat tinjauan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Presint 9 hari ini bagi memastikan tiada aktiviti kunjung mengunjung dibuat sempena Aidilfitri. - Foto Bernama
PUTRAJAYA, 14 Mei -- Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat tinjauan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Presint 9 hari ini bagi memastikan tiada aktiviti kunjung mengunjung dibuat sempena Aidilfitri. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pematuhan orang ramai mengenai prosedur operasi standard (SOP) khususnya kesalahan berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri berada di tahap memuaskan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, sehingga kini yang ada hanyalah kompaun dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka misalnya, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Pemerhatian di kawasan perumahan juga mendapati jumlah kenderaan adalah tidak banyak menandakan tiada aktiviti berkumpul yang ketara oleh orang awam.

"Bagaimanapun pemantauan dan rondaan akan kekal dilakukan dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan ini kekal untuk jangka masa yang lama," katanya ketika ditemui Bernama pada Jumaat.

Di SELANGOR, polis terus membuat pemantauan di semua kawasan bagi mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjung dilakukan oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memantau di semua kawasan dan akan juga bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang dibuat kepada Bilik Gerakan Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Di MELAKA, sebanyak 1,031 rumah diperiksa pada Khamis bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selaras dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, jumlah itu melibatkan pemeriksaan di 471 rumah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (322) dan Jasin (238).

Di JOHOR, lebih 40 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan penduduk di sekitar Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Pontian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam pemeriksaan itu, tiada kompaun dikeluarkan polis berhubung kesalahan melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri pada kali ini.

Menurutnya, pemantauan di kawasannya melibatkan 29 kawasan Felda dan 25 taman perumahan.

Di PERLIS, tiada kes kesalahan melanggar SOP berkaitan dengan larangan kunjung-mengunjung dan ziarah Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga kini hanya satu kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas negeri tanpa surat kebenaran sejak PKP bermula pada Rabu lepas.

Di KEDAH, tiada kompaun dikeluarkan kepada mana-mana individu kerana melanggar larangan itu berikutan polis melakukan pemantauan serta rondaan ke kawasan perumahan bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, sebanyak 142 rumah diperiksa pada Khamis dan Jumaat merangkumi kawasan perumahan serta kampung di daerah itu dan secara keseluruhannya penduduk mematuhi larangan itu.

“Kami dapati semua rumah yang diperiksa mematuhi SOP serta jumlah orang yang berada di dalam rumah mengikut jumlah yang sepatutnya. - Bernama