Dua lokaliti di Alor Gajah, Tawau dikenakan PKPD

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Alor Gajah, Melaka dan Tawau, Sabah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka dikenakan PKPD bermula 16 Mei sehingga 29 Mei depan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan peningkatan ketara sebanyak 56 kes positif Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan mengekang penularan jangkitan Covid-19 membabitkan komuniti luar.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula dari 16 Mei sehingga 29 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah turut dikenakan PKPD setelah KKM melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan tersebut.

“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 56 saringan di lokaliti ini serta dengan kadar positiviti adalah 26.79 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 56,925 pemeriksaan dilakukan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan 292 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lain-lain kesalahan merupakan kategori kesalahan paling tinggi direkodkan, diikuti kesalahan gagal merekod butiran diri sebelum masuk premis (75), tiada penjarakan fizikal (62) dan tidak memakai pelitup muka (45).

“Daripada jumlah itu, seramai 278 individu dikompaun manakala 14 lagi direman.

“Seramai 3,077 pasukan pematuhan melibatkan 14,179 anggota telah membuat pemantauan di 4,045 pasar raya, restoran (3,974), kilang (2,025), bank (3,944), pejabat kerajaan (801) dan penjaja (1,675).

“Turut dipantau ialah pasar awam dan pasar tani (1,531), tempat ibadah (3,489), tempat riadah (1,624), terminal pengangkutan darat (1,349), terminal pengangkutan air (335) dan terminal pengangkutan udara (103),” jelasnya.