Seorang maut, dua parah diserang lapan lelaki berparang

Lokasi mangsa ditemui maut dalam semak berhampiran tempat kejadian. Foto: ihsan polis.
Lokasi mangsa ditemui maut dalam semak berhampiran tempat kejadian. Foto: ihsan polis.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera parah disyaki diserang sekumpulan lapan individu bersenjatakan parang di tapak pembinaan perumahan Taman Desa Maju Perak, Langkap di sini pada Khamis.

Mayat mangsa berusia 29 tahun ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam dalam keadaan berlumuran darah dengan lengan kanannya hampir putus.

Dua rakannya berusia 25 dan 19 tahun cedera parah manakala salah seorang daripadanya putus tiga jari tangan kiri manakala seorang lagi berusia 32 tahun berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya itu sedang minum di lokasi kejadian kira-kira jam 6.45 petang.

"Tiba-tiba datang dua kereta yang dinaiki kesemua suspek yang kemudian menyerang mangsa dan rakan-rakannya menyebabkan mereka melarikan diri.

"Suspek kemudian mengejar mereka dengan menggunakan parang. Mangsa telah melarikan diri seorang diri ke dalam kawasan semak berhampiran dan dipercayai telah ditetak di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, dua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Berdasarkan keterangan saksi, lima suspek yang menyerang mangsa adalah lelaki yang dikenalinya manakala tiga yang lain tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Salah sebuah kenderaan yang dinaiki suspek ialah Proton Iswara berwarna putih tetapi tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran," katanya.

Ahmad Adnan berkata, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan kesemua suspek terlibat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Asisten Superintendan Hamzanni di talian 05-6299222," katanya.