Empat individu termasuk peniaga mercun ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk seorang remaja dan seorang kanak-kanak ditahan ketika sedang bermain mercun bola di Tingkat 11, Blok 33 Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka ditahan ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul membuat rondaan dan pemantauan pembakaran mercun secara terbuka di kawasan tersebut.

Menurutnya, mereka yang berusia 44 tahun, 13 tahun dan 12 tahun itu sedang menyalakan sumbu dan membaling mercun berkenaan.

"Sebanyak 48 butir mercun bola dirampas daripada sebuah beg silang yang dipakai oleh salah seorang remaja berusia 13 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan tangkapan berkenaan, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis di Blok 39 dalam pangsapuri yang sama dan menahan seorang lelaki berumur 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah.

"Sebanyak 130 biji mercun bola dan pelbagai bunga api telah dirampas.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 ke atas tiga tangkapan pertama manakala tangkapan kedua disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan juga disiasat bersabit kes lontaran mercun ke atas anggota polis yang berlaku pada Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes tersebut. Polis membebaskan kesemua tangkapan bersabit kes itu dengan jaminan polis.

Pada Rabu, sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menghentikan kira-kira 200 penduduk kerana membakar bahan tersebut secara terbuka, di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.50 pagi dan apabila tiba di lokasi, keadaan menjadi tidak terkawal dengan letupan mercun.

Polis kemudian memberi amaran memberhentikan tindakan itu tetapi tidak diendahkan.

Ketika polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai anggota yang sedang bertugas itu.

Letupan dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontarkan ke arah polis dan setelah itu orang ramai segera beredar dari kawasan itu. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis berjaya mengawal tempat kejadian.