Warga asing ditemui lemas di Sungai Karak

Anggota bomba membantu menaikkan mayat mangsa yang ditemui tersangkut di tepi Sungai Karak sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, pada Khamis.
Anggota bomba membantu menaikkan mayat mangsa yang ditemui tersangkut di tepi Sungai Karak sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, pada Khamis.
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki warga asing yang dihanyutkan arus ketika menjalankan kerja-kerja di tapak projek pam pasir di Batu 4 1/2, Sungai Pertang, Karak di sini ditemui lemas, pada Khamis.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Shahhin, 38, ditemui tersangkut di tepi Sungai Karak kira-kira jam 9 pagi oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kehilangan mangsa dilaporkan pada jam 4.50 petang pada Rabu sebelum operasi SAR digerakkan dengan bantuan pihak bomba.

"Sekitar jam 9 malam, pihak polis mendapat maklumat berhubung penemuan satu mayat di Sungai Karak daripada orang awam.

"Pihak bomba ke lokasi namun operasi untuk mengesan mayat tersebut gagal dilakukan ekoran keadaan gelap dan arus yang terlalu deras," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zaiham berkata, operasi pencarian yang diteruskan pada keesokan hari berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 400 meter dari lokasi di mana satu mayat dilaporkan ditemui sebelum itu.

"Ketika ditemui tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat mangsa dan hasil laporan pihak hospital mengesahkan lelaki itu mati akibat lemas," katanya.

Artikel Berkaitan: