Covid-19 di Malaysia dijangka meningkat lebih 8,000 kes sehari pada Jun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes Covid-19 di Malaysia diramal meningkat lebih 8,000 jangkitan setiap hari pada Jun tahun ini.

Menerusi graf yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia menggambarkan trend peningkatan yang mengunjurkan lebih 8,000 kes bermula 13 Mei hingga 6 Jun.

KKM dalam Facebook rasminya memaklumkan, kadar kebolehjangkitan tersebut pada jangkaan mengikut kes harian meningkat kepada 1.14 Ro/Rt.

Graf kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang dikongsikan oleh KKM di Facebook
Graf kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang dikongsikan oleh KKM di Facebook

Dalam pada itu, Perak mencatat kadar kebolehjangkitan tertinggi (1.32), Terengganu (1.29) dan Kedah (1.22).

“Diikuti Pulau Pinang (1.21), Melaka (1.18), Selangor (1.17) dan Johor (1.17).

“Seterusnya, Negeri Sembilan (1.12), Pahang (1.11) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.10),” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sehubungan itu, KKM menasihati orang ramai untuk mengamalkan langkah penjagaan prosedur operasi standard (SOP) dalam menyambut Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

“Sentiasa pakai pelitup muka, sentiasa basuh tangan. Jaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter, amalkan etika batuk dan bersin yang betul dan duduk di rumah serta hanya keluar jika perlu,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 11 Februari lalu, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 20,000 jangkitan pada 3 Mac tahun ini.

Bagaimanapun, jangkaan itu ternyata meleset apabila hanya sekitar 4,000 kes dicatatkan di Malaysia pada bulan itu.