X

Kindly register in order to view this article
!

Exco Terengganu, jiran dikompaun RM2,000 ziarah Aidilfitri

Azman (tengah) bersama jirannya, Zakaria (kanan) ketika memberi keterangan di IPD Besut pada Jumaat. - Foto: Ihsan Facebook Dr Azman Ibrahim
A
A

BESUT - Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dikompaun sebanyak RM2,000 pada Jumaat atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, Azman dipanggil bersama jirannya berhubung kehadiran tetamu di kediaman wakil rakyat itu pada pagi 1 Syawal.

"Kedua-duanya dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut jam 12 tengah hari tadi.

"Turut dikenakan kompaun RM2,000 ialah jirannya, Zakaria Mahmud," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, tular dua gambar di laman sosial Facebook memaparkan jirannya itu berkunjung ke kediaman Azman di Besut.

Berdasarkan keterangan pada gambar itu, pertemuan berkenaan dilakukan selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, namun gambar itu telah dipadamkan setelah ia menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi ketika dihubungi berkata, beliau akur dan akan membayar denda yang dikenakan bagi kesalahan tersebut.

Katanya, beliau akan melunaskan bayaran kompaun itu di Pejabat Kesihatan Besut pada Ahad depan.

"Semua orang tanpa terkecuali tertakluk kepada SOP. Saya akur dengan lapang dada dan akan menjelaskan kompaun sebagaimana dilakukan orang lain," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!