X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Solskjaer akui Liverpool layak bawa pulang tiga mata

Solskjaer (tengah) selepas aksi menentang Liverpool di Old Trafford.
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan Liverpool lebih berhak membawa pulang tiga mata dari Old Trafford ketika menyaksikan The Red Devils tumpas 4-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, Solskjaer yang juga bekas pemain Red Devils mengakui, tuan rumah tetap berjaya mempamerkan persembahan berkualiti dalam menyaingi skuad kendalian Jurgen Klopp berkenaan.

“Pada perlawanan ini sememangnya Liverpool lebih berhak untuk menang. Namun pada satu sudut pemain-pemain United sewajarnya memanfaatkan peluang dalam perlawanan ini.

“Pemain-pemain sebaiknya mengambil pengalaman dan belajar sesuatu dalam perlawanan ini apatah lagi menentang kelab seperti Liverpool.

“Saya percaya pemain-pemain dalam perlawanan ini tidak memahami lawan yang dihadapi adalah Liverpool kerana kami bermula baik menguasai bola, namun akhirnya begitu mudah kehilangan bola,” katanya.

Pada aksi tersebut gol anak buah Jurgen Klopp dijaringkan Diogo Jota pada minit ke-34 diikuti dua jaringan Roberto Firmino sebelum Mohamed Salah melengkapkan kemenangan pertama The Reds.

Gol skuad tuan rumah kendalian Solskjaer pula dijaringkan Bruno Fernandes pada minit ke-10 dan Marcus Rashford (68').

Jelas pengendali kelahiran Norway tersebut pemain-pemain tuan rumah memberi tiga gol mudah kepada pelawat yang bergelut memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan berkenaan.

“Pada penghujung babak pertama, sebaik babak kedua bermula diikuti masa kecederaan tiga situasi yang menyaksikan kita memberikan tiga gol mudah kepada Liverpool.

“Namun selepas kembali menyaingi mereka pada kedudukan 2-3, kita mula mendapat rentak perlawanan dan peluang menambah jaringan tapi sebaliknya yang berlaku.

“Situasi ini kebiasaannya akan berlaku dan malangnya kali ini berlaku ketika kita berdepan Liverpool apabila tiga gol mudah diberikan kepada lawan,” katanya.

Pada masa sama Solskjaer mengakui tuan rumah cukup terkesan tanpa kelibat kapten The Red Devils, Harry Maguire pada perlawanan tersebut.

“Maguire merupakan aset penting apatah lagi menjadi antara nadi membawa kelab sehingga ke tahap ini. Namun pada ketika ini kita perlu akur bahawa dalam mengharungi baki dua perlawanan tanpa khidmatnya. Biarpun begitu kita memiliki beberapa pemain bagi mengisi kekosongan posisi Maguire,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!