X

Kindly register in order to view this article
!

Najib beri bayangan tempoh PKP 3.0 lebih panjang

Najib Razak
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan tempoh bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mungkin lagi panjang berbanding PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Beliau berkata, itu pasti jika mengikut segala logik, sains dan data antaranya varian-varian baharu lebih berbahaya sedang menular sejak PKP 2.0 dan keadaan sekarang jauh lebih kritikal berbanding masa darurat dan PKP 2.0 diumumkan.

Selain itu, katanya, bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir tiga kali ganda, jumlah kes baharu adalah lebih dua kali ganda manakala jumlah kluster aktif dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan meningkat hampir sekali ganda.

Menurut Najib, penularan sudah masuk ke komuniti dengan 80 peratus kes sporadik yang tidak dapat dikesan puncanya berbanding lebih tertumpu kepada sektor kilang dan tapak pembinaan.

Tangkap layar kenyataan Najib.
Tangkap layar kenyataan Najib.

"Kenapa keadaan jadi begini di mana ia lebih kritikal dan PKP 3.0 perlu dilaksanakan hanya selepas PKP 2.0 tamat? Kenapa PKP 3.0 menyeluruh perlu dilaksanakan walaupun PM8 dah dua kali beri jaminan tiada lagi PKP menyeluruh?

"Kenapa janji kerajaan bahawa kes baru jatuh ke dua angka menjelang bulan Mei dengan pelaksanaan darurat yang memberi kuasa penuh kepada kerajaan tidak kesampaian tetapi apa yang kita dapat ialah keadaan berkali ganda lebih kritikal pada bulan Mei ini?

"Sehingga lawatan raya disekat walaupun ramai telah berbelanja untuk persediaan raya? Sebenarnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah mengaku kesilapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan mengakui kerajaan mungkin memberi kelonggaran terlalu awal kepada beberapa sektor ketika PKP 2.0 dilaksanakan awal tahun ini.

Menurut Najib, sehingga kini, hanya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seorang sahaja yang mengaku kesilapan kerajaan.

"Lain-lain dalam kerajaan diam saja dan buat-buat tak nampak. Langsung tak rasa bersalah.

"Pada saya, kerajaan PN telah membuat dua kesilapan paling besar yang saya telah berkali-kali tegur dan memberi amaran dari awal-awal lagi sebab ia terlalu jelas di depan mata.

"Bahawa, ia PKP 2.0 ini akan gagal dan kerajaan akan membazirkan duit dan sia-siakan pengorbanan Rakyat untuk menghadapi PKP 2.0.

"Bahawa PKP 3.0 akan terpaksa dilaksanakan dan mudarat serta penderitaan rakyat akan berpanjangan jika PKP 2.0 tidak dibuat dengan betul," kata beliau.

Najib menjelaskan bahawa kedua kesilapan itu antaranya adalah menurunkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing dari 14 hari ketujuh hari pada bulan Disember ketika banyak negara-negara lain naikkan lagi tempoh kuarantin sebab bimbang dengan varian-varian yang baru muncul.

Sementara itu katanya, kedua adalah PKP 2.0 dibuat secara separuh masak dengan membenarkan sektor-sektor penyumbang terbesar kes dalam gelombang ketiga untuk terus beroperasi seperti biasa.

"Lalu, kerajaan terpaksa tamatkan PKP 2.0 walaupun kes baru lebih tinggi berbanding masa ia bermula sebab Rakyat dah hilang sabar dan tertekan dengan PKP 2.0 separuh masak yang kurang berkesan.

"Tapi geng (Jabatan Komunikasi Komuniti) J-Kom dan PN pula kata saya meroyan berpanjangan masa itu. Cuma syok sendiri untuk mendapat "likes". Hanya tahu mengkritik dan mencari kesilapan.

"Maaf, kesilapan-kesilapan itu adalah terlalu jelas dan akibatnya terlalu nyata.

"Patutkah saya berdiam diri jika akibat kesilapan-kesilapan itu ialah mudarat, penderitaan berjuta-juta rakyat yang berpanjangan dan kehilangan nyawa bagi lebih 1,100 warga Malaysia dalam tempoh 4 bulan darurat ini?

"Lalu, J-Kom akan sindir bahawa Najib selalu betul. Kerajaan selalu salah. Najib bukan maksum. Bukan selalu betul," sindir Najib.

Beliau bagaimanapun berkata, J-Kom perlu menghadapi realiti bahawa PKP 3.0 perlu dilaksana pada ketika hari raya dan hanya dua bulan selepas PKP 2.0 tamat serta tempoh PKP 3.0 juga bakal lagi panjang berbanding yang lalu.

"PM8 (Perdana Menteri kelapan) telah 'capatikan' jaminan-jaminannya bulan lepas bahawa PKP menyeluruh tidak akan dilaksanakan lagi," katanya.

Tambah Najib, keadaan PKP 3.0 adalah berkali ganda lebih parah biarpun kuasa penuh darurat diberi selama empat bulan dan PKP 2.0 telah dilaksanakan.

Pada masa masa, menurutnya, Malaysia diperli Indonesia setelah keadaan Covid dan jumlah kes baharu melepasi negara jiran dan Malaysia menjadi paling teruk dari segi saiz penduduk di ASEAN.

"Malah, kita lebih teruk berbanding Amerika Syarikat dan United Kingdom sekarang. Ini bukan mencari kesian. Ia kenyataan.

"Tapi realitinya ialah kesejahteraan hidup bagi berjuta-juta rakyat telah terkorban dan mudarat rakyat masih berpanjangan akibat kesilapan-kesilapan yang telah diakui kerajaan.Tak kan ini salah Najib juga," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!