X

Kindly register in order to view this article
!

Empat tahanan lolos berjaya ditahan semula

HAZANI
A
A

KOTA KINABALU - Selepas kira-kira 10 jam melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, empat daripada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit ditahan semula.

Keempat-empat suspek warga Filipina berusia 20-an hingga 40-an itu diberkas pihak berkuasa di sekitar radius lima kilometer dari kawasan DTI, kira-kira jam 8 malam, Khamis.

Menurut sumber, operasi memburu suspek itu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Sumber berkata, setakat ini hanya dua lagi PATI yang masih bebas dan operasi memburu mereka giat dijalankan pasukan keselamatan.

"Semua empat suspek yang ditahan sudah dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat suspek terbabit.

"Operasi memburu dua lagi suspek akan dipertingkatkan termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM," katanya.

Dalam kejadian pagi Khamis, enam daripada sembilan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) itu memanjat tembok depoh sebelum lolos dipercayai mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tiga daripada tahanan ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!