Sila log masuk terlebih dahulu.

99 pelajar asrama SMA Setiu dijangkiti Covid-19

Keputusan sampel pelajar SMA Setiu diperoleh pada Khamis selepas mereka dikuarantin di asrama selama 10 hari.
Keputusan sampel pelajar SMA Setiu diperoleh pada Khamis selepas mereka dikuarantin di asrama selama 10 hari.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 99 daripada 208 pelajar asrama di Sekolah Menengah Agama (SMA) Setiu disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berdasarkan pertambahan sebanyak 41 kes positif hasil keputusan sampel diperoleh pada Khamis selepas pelajar dikuarantin di asrama selama 10 hari.

"Kes indeks bagi jangkitan itu merupakan seorang guru wanita yang merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Tok Has didaftarkan pada 3 Mei lalu.

"Berdasarkan sampel yang diperoleh semalam (Khamis), hampir 50 peratus atau 99 orang daripada 208 pelajar perempuan di asrama SMA Setiu telah dijangkiti Covid-19, " katanya menerusi hantaran Facebook beliau pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, SOP di asrama perlu dipatuhi bagi mengelak berlaku penularan lebih cepat dalam kalangan pelajar.

"Pematuhan SOP di asrama agak sukar dilaksanakan. Walaupun pelajar mungkin tinggal tiga atau empat orang dalam satu bilik, mereka bergaul rapat dan berkongsi segalanya, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar menengah rendah yang berusia 13 tahun.

"Sebab itu saya selalu ulang, virus Covid-19 mesti dihalang masuk ke sekolah atau institusi khususnya sekolah berasrama. Langkah pencegahan di sekolah atau di institusi perlu diperketatkan bagi mengelak kluster sama berulang.

"Tidak boleh ada kemasukan virus Covid-19 di sekolah. Apabila terdapat satu kes sahaja di sekolah atau asrama, ia akan merebak dengan pantas," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Azimi berkata, daerah Besut merekodkan satu lagi kematian akibat Covid-19 pada Khamis.

"Kes melibatkan mangsa wanita berusia 63 tahun yang berasal dari Kampung Gertak 100 adalah kes kematian terbaharu menjadikan jumlah kematian Covid-19 di daerah Besut ialah seramai 11 orang.

"Mangsa mempunyai sejarah darah tinggi dan angin ahmar. Mangsa datang ke hospital dengan simptom demam, cirit-birit dan lenguh-lenguh badan," katanya.

Nor Azimi berkata, daerah Besut merekodkan sebanyak 525 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu sepanjang Mei ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu pada Khamis merekodkan pertambahan sebanyak 69 kes discaj dan 148 kes baharu menjadikan terdapat 729 kes Covid-19 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,242 kes.

Sebanyak 718 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, manakala 11 kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.