BNM lancar dasar pengurusan risiko tangani jenayah siber

Bank Negara Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) akan melancarkan dasar Pengurusan Risiko Dalam Teknologi pada Jun tahun ini bagi menyediakan garis panduan, terutama bagi institusi kewangan, untuk memerangi peningkatan jenayah siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata lebih 10,000 kes jenayah siber dilaporkan pada 2018.

"Daripada jumlah ini, lebih separuh kes melibatkan penipuan siber, bernilai berjuta-juta ringgit.

"Kami berharap menerusi pelancaran dasar ini, kita boleh menangani penipuan wang ini," katanya kepada pemberita pada Dialog Fintech Islam 2019, di sini hari ini.

Amirudin berkata menerusi dasar keselamatan siber negara, 10 sektor dikenal pasti sebagai infrastruktur maklumat nasional yang kritikal, termasuk kerajaan, pertahanan dan keselamatan, kewangan dan perbankan serta pengangkutan.

"Ini bermakna jika terdapat serangan besar ke atas mana-mana sektor ini, ia boleh menjejaskan keselamatan, ekonomi dan sosial negara," katanya.

Amirudin berkata ancaman ini boleh berlaku dalam bentuk teknikal dan bukan teknikal, namun yang penting, ancaman itu tidak seharusnya berada pada tahap yang akan menjejaskan operasi perniagaan sektor yang disebutkan.

Pada September 2018, BNM mengeluarkan draf pendedahan dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi yang menggariskan jangkaannya terhadap rangka kerja dan amalan pengurusan risiko berdasarkan kompleksiti dan saiznya.

Bank pusat berkata dasar itu akan terpakai kepada semua institusi kewangan berlesen seperti bank, penanggung insurans, pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan, pengendali sistem pembayaran yang ditetapkan dan penerbit e-wang yang layak apabila mengguna pakai inovasi teknologi baharu.

Sementara itu, Amirudin berkata firma penyelidik ekonomi siber global Laporan Kerja Cybersecurity Ventures 2018-2021 mendedahkan bahawa menjelang 2021, terdapat defisit 3.5 juta bakat keselamatan siber di seluruh dunia.

Berdasrkan kedudukan itu, beliau berkata CyberSecurity Malaysia akan menjalankan kursus dan program untuk meningkatkan bilangan bakat siber di negara ini.

Pada masa lalu, tidak banyak sektor yang menggunakan teknologi tinggi. Ini telah berubah dan hari ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada universiti untuk menghasilkan pakar-pakar (siber) ini kerana ia boleh mengambil masa sehingga empat tahun untuk menghasilkan graduan," katanya.

Antara kursus dan program yang ditawarkan oleh CyberSecurity ialah CyberSafe, untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu keselamatan dan keselamatan dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia, dan CyberGuru, program keselamatan maklumat komprehensif, mantap dan berekos efektif untuk pembangunan profesional berterusan.

Cyber Security Malaysia ialah pakar keselamatan siber negara dan pusat teknikal di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - Bernama