Tanam vanila, AVT terus lebar sayap

Feisal bersama pokok vanilla yang sebelum ini kurang dikenali masyarakat di negara ini.
Feisal bersama pokok vanilla yang sebelum ini kurang dikenali masyarakat di negara ini.
A
A
A

TEMERLOH - Dulu bergelar wartawan, kini bergelumang dalam bidang penanaman vanila sepenuh masa sejak 2018 hingga kini.

Bekas wartawan Sinar Harian, Mohamad Feisal Mohd Norawi, 39, menyifatkan ia satu keputusan tepat kerana kini Amani Vanilla Temerloh (AVT) di Kampung Bangau Parit, Temerloh-Mentakab kian dikenali ramai di dalam dan luar negara kerana kualiti yang dihasilkan.

Kini AVT di kampung itu menjadi tumpuan pelancong dan antara lokasi terkenal di Pahang kerana keunikan lokasi di kelilingi pokok vanilla selain aiskrim vanila asli yang memikat selera.

"Sebelum saya berhenti kerja memang agak sukar untuk fokus kerana kesibukan bertugas, namun apabila berhenti saya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Syukur kerana pulangannya berbaloi namun sebelum itu pelbagai cabaran, risiko yang terpaksa dihadapi selama ini," katanya pada Sinar Harian.

Selain penanaman pokok vanila atau nama saintifiknya, Vanilla Planifolia, AVT terus melebarkan sayapnya dengan mempelbagaikan cabang perniagaan.

Antara menu yang menggunakan aiskrim vanilla perisa asli yang dihasilkan di AVT
Antara menu yang menggunakan aiskrim vanilla perisa asli yang dihasilkan di AVT

"Saya membuka kafe AVT di Kampung Bangau Parit yang berasaskan vanila seperti aiskrim perisa vanila asli pada Jun tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini ia mendapat sambutan menggalakkan terutamanya aiskrim vanila gula kabung selain kopi o vanila yang turut diperkenalkan di kafe AVT, " katanya.

Feisal yang kini memiliki 14 pekerja memberitahu tarikan tanaman vanila yang terdapat sekitar kafe tersebut menarik perhatian pengunjung.

"Ini kerana vanila di Malaysia masih belum dikenali dan mereka berpeluang mengenali dengan lebih dekat dan melihat sendiri vanila yang ditanam," ujarnya lagi.

Mula berjinak dalam penanaman vanila sejak 13 tahun lalu, Feisal mengakui meminati bidang pertanian sejak kecil.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kini juga melebarkan sayap AVT dengan menjadi konsultan dan membimbing mereka yang berminat dengan penanaman pokok tersebut.

Jelasnya, setakat ini, beliau telah membimbing 500 peserta menerusi pelbagai siri kursus dan sudah ada peserta yang turut menjejaki langkah menanam vanila.

"Selain itu, AVT juga telah bekerjasama dengan sebuah syarikat di Seremban dengan konsep sama seperti yang ada di Temerloh dan menanam vanila juga di tapak sama," jelasnya sambil memberitahu di AVT terdapat kira-kira 2,000 pokok vanilla.

Bertuah kerana mendapat sokongan padu isterinya, Musazlila Mustapar, 39, yang juga antara tonggak utama AVT, bapa kepada tiga cahaya mata itu merancang pelbagai usaha untuk masa depan syarikat tersebut.

Mengakui pandemik Covid-19 memberikan cabaran buat AVT terutamanya kafe tersebut yang baru beroperasi tahun lalu, Feisal tetap sabar menghadapi dugaan pandemik terutamanya terhadap usahawan seperti mereka.

Aiskrim vanila asli yang mula dikenali ramai dan diminati orang ramai.
Aiskrim vanila asli yang mula dikenali ramai dan diminati orang ramai.

Tambahnya, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), AVT beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ditanya perancangan seterusnya, Feisal memberitahu, selain memberikan tumpuan kepada penanam lain dalam menambahkan pokok vanilla, AVT akan berusaha menambahkan pengeluaran aiskrim berasaskan vanilla asli.

"Selain itu, kita merancang mengukuhkan lagi sistem ejen aiskrim yang kini juga telah menerjah ke pasaran Lembah Klang selepas ini," tambahnya.