Projek naik taraf parkir Lapangan Terbang Subang selesai suku ketiga

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ruang parkir Lapangan Terbang Subang (SZB) akan dinaik taraf dan projek tersebut dijangka selesai menjelang suku ketiga 2021 dengan penambahan 200 petak parkir yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,000, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang berkenaan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kerja-kerja menaik taraf itu termasuklah antara lainnya memasang lampu sorot berkuasa tinggi dan menyediakan papan tanda arah yang lebih mudah.

“Apa yang lebih penting, kami akan memasang kamera pengawasan video (CCTV) canggih yang terkini bagi memastikan keselamatan pengguna yang berterusan.

“Keseluruhan ruang parkir adalah 34,484 meter persegi bagi 1,000 petak parkir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan itu.

Menurutnya, dalam pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang MAHB menyasar untuk menyediakan potensi pertumbuhan optimum bagi penerbangan komersial dan segmen aeroangkasa di lapangan terbang itu sejajar dengan pelan nasional.

“Kami mahu meningkatkan keselesaan pengguna di Lapangan Terbang Subang dari segenap sudut. Membaik pulih parkir merupakan satu daripada inisiatif yang kami ambil sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan infrastruktur penting untuk kemudahan yang lebih lancar,” katanya.

Dua parkir yang akan dibaik pulih itu terletak di terminal dan Pusat MRO & Helicopter, dan ia bagi kemudahan orang awam dan kakitangan lapangan terbang yang bekerja dengan pelbagai pengendali.

Dengan SZB disasarkan menjadi hab aeroangkasa sehenti pilihan di rantau ini, MAHB menjangkakan pertumbuhan penyewanya dalam tempoh lima tahun pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.

Artikel Berkaitan:

Pelan itu merangkumi penyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk menyokong pengendali dengan infrastruktur lengkap termasuk membangunkan kemudahan boleh sewa, iaitu hangar, bengkel kerja pembaikan membaiki komponen pesawat dan kemudahan pembuatan aero-struktur bagi pengendali pihak ketiga. - Bernama