Rumah terbakar, dua beranak terselamat

Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sayong Tengah pada Khamis. Foto: ihsan bomba.
Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sayong Tengah pada Khamis. Foto: ihsan bomba.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dua beranak sempat menyelamatkan diri dalam satu kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Sayong Tengah, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Muhammad Azhar Taha Suhaimi, 23, melecur pada bahagian tangan kanan dan belakang kepala manakala, ibunya, Halimah Bistamam, 66, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Muhammad Azhar berkata, mereka menyedari kejadian itu apabila tercium bau sesuatu terbakar dan asap mula memenuhi ruang bawah rumah dua tingkat itu.

"Ketika kejadian, saya baru buka komputer riba untuk lihat tugasan universiti dan kebetulan mak ada berhampiran sembang bersama. Sedar-sedar keadaan rumah berasap dan terasa panas.

"Kemudian dengar bunyi letupan kecil di bahagian atas sebelum menyedari terdapat api. Kami panik dan saya minta mak keluar dahulu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.

Pelajar jurusan Arkitek Landskap di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu sempat menyelamatkan komputer riba yang mengandungi pelbagai tugasan pelajarannya.

"Saya syukur dapat selamatkan komputer riba kerana ia perlu untuk belajar dalam talian waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tetapi lukisan landskap saya habis musnah.

"Saya juga sempat selamatkan kereta kancil dan dompet yang mengandungi dokumen peribadi. Dalam selamatkan barang, saya tidak sedar tangan melecur hinggalah terasa pedih apabila berada di tempat selamat," katanya yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Azhar berkata, dia syukur ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan reda dengan kejadian yang memusnahkan rumahnya.

Muhammad Azhar melihat keadaan rumah yang hangus dalam kejadian kebakaran pada Khamis.
Muhammad Azhar melihat keadaan rumah yang hangus dalam kejadian kebakaran pada Khamis.

Pada masa sama, Halimah berkata, mereka dua beranak kini menumpang di rumah adiknya yang terletak berhampiran buat sementara waktu.

"Rendang ayam masih banyak atas dapur dengan laksa dan lemang untuk sambutan raya. Dalam masa lima minit sahaja semua hangus.

"Masa keluar, saya nampak api di bahagian belakang. Sejak semalam memang tidak dapat tidur. Rumah ini, rumah pusaka duduk sejak kecil lagi," katanya.

Katanya, dia bersyukur menerima pelbagai sumbangan daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal serta pihak lain yang prihatin.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan seramai 18 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Sungai Siput bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan dua rumah dan rumah pertama dengan struktur binaan separa kayu dan batu musnah 80 peratus manakala rumah kedua terbakar lima peratus.

"Kejadian itu turut memusnahkan dua motosikal jenis Honda EX5 yang terbakar lima peratus dan kereta pula terbakar lima peratus," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Anggota melakukan pemadaman menggunakan aliran air hingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 9.15 malam," katanya.

-end-