Bersatu dengan negara Islam lain bela nasib rakyat Palestin

Kerajaan digesa supaya bersatu padu bersama negara-negara Islam lain dalam membela nasib rakyat Palestin. Gambar hiasan
Kerajaan digesa supaya bersatu padu bersama negara-negara Islam lain dalam membela nasib rakyat Palestin. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa kerajaan supaya bersatu padu bersama negara-negara Islam lain dalam membela nasib rakyat Palestin.

Timbalan Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, ia bagi menjaga kesucian Masjid Al-Aqsa daripada terus dicemari dan dikotori oleh kebobrokan dan kekejaman rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, Malaysia perlu menggerakkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan semua kesatuan negara lain bagi memberi tekanan kepada Israel.

Menurutnya, Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin.

"PPMM berpendirian tegas bahawa perjuangan rakyat negara Palestin adalah sebagai suatu tanggungjawab bersama bagi setiap muslim sejagat di dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa dan bukan sebagai isu terpencil yang dialami oleh rakyat Palestin sahaja.

"PPMM menggesa Kementerian Luar terus membantu rakyat Palestin melalui saluran antarabangsa dalam terus memberikan tekanan kepada rejim Zionis. Tekanan supaya menghentikan pembunuhan ke atas orang awam terdiri daripada wanita dan kanak-kanak tidak berdosa yang terus meningkat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kekejaman berterusan rejim Zionis Israel menunjukkan penyelesaian kemelut dua negara (two state solution) berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibukota Palestin, telah gagal.

Ini kerana, katanya, Zionis Israel tidak pernah mengiktirafnya.

Artikel Berkaitan:

"Palestin perlu kemerdekaan penuh dan ditadbir secara bebas oleh orang Islam sebelum kedatangan Zionis Israel," katanya.

-end-