Polis Melaka keluar lapan kompaun RM12,000

Anggota polis yang bertugas di SJR Gapam, Jasin ketika membuat pemeriksaan kenderaan.
Anggota polis yang bertugas di SJR Gapam, Jasin ketika membuat pemeriksaan kenderaan.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka mengeluarkan lapan kompaun bernilai RM12,000 atas pelbagai kesalahan termasuk ziarah menziarahi pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri pada Khamis.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, enam kompaun membabitkan daerah Melaka Tengah dan dua di Jasin yang termasuk kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah untuk beraya dan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, sebanyak 1,021 buah rumah diperiksa termasuk 471 di daerah Melaka Tengah, 322 rumah di Alor Gajah dan 238 rumah di Jasin, selain pemeriksaan di 56 tanah perkuburan.

"Hasil pemeriksaan itu kita telah keluarkan kompaun RM1,500 kepada lapan individu atas kesalahan seperti tiada penjarakan fizikal dan keluar rumah tanpa alasan munasabah.

"Pada hari raya kedua ini kita menasihati orang ramai agar tidak cuba merentas daerah bagi menyambut Aidilfitri," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, berdasarkan pemantauan dan rondaan di kawasan taman perumahan kebanyakan keadaan sunyi dan pergerakan di Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk ziarah berkurangan.

"Bagaimanapun pemeriksaan akan terus dipertingkatkan terutama di kawasan perkampungan bagi mengelakkan aktiviti berkumpul.

"Kita akan menyemak segala dokumen termasuk bil elektrik dan air sekiranya didapati ada dalam kalangan mereka yang berada di daerah lain," katanya.

Artikel Berkaitan: