Malaysia desak penindas etnik Rohingya dihadap segera ke ICC

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (berdiri kiri) mengadakan lawatan di Pusat Pendidikan Rohingya Klang hari ini. - Foto Bernama
A
A

KLANG - Malaysia mendesak supaya ‘penjenayah’ yang melakukan penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar dihadapkan segera ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun perkara berkenaan mungkin mengambil masa yang lama, namun kerajaan amat serius dalam isu itu kerana penindasan seumpama itu menyebabkan etnik Rohingya kini menjadi pelarian di serata dunia.

“Kerajaan Malaysia secara terbuka berpegang kepada prinsip penjenayah (kemanusiaan) mesti dihukum. Punca masalahnya adalah etnik Rohingya dihalau dari negara mereka sendiri.

“Pada kita, siasatan kes Myanmar dan penjenayah (kemanusiaan) ini adalah sangat mustahak untuk diselesaikan daripada punca masalah yang mana ia boleh mengheret penjenayah ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rohingya Education Centre (REC) Klang, di sini hari ini.

Tambah beliau, maklumat Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas di Myanmar (IIFFMM) yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) beberapa bulan lepas juga telah mengesan terdapat enam individu didakwa terlibat dalam jenayah kemanusiaan ke atas etnik Rohingya di negara berkenaan.

Disebabkan itu, kata Saifuddin, Malaysia juga mahu terlibat memastikan ‘penjenayah’ kemanusiaan itu dihadapkan ke ICC segera namun langkah yang bakal dilaksanakan akan diumumkan kelak.

Pada Ogos lepas, para penyiasat yang dilantik PBB mengesyorkan agar beberapa komander tentera tertinggi Myanmar diheret ke muka pengadilan iaitu berdepan satu inkuiri dan pendakwaan kerana melakukan jenayah ‘paling kejam’ terhadap orang awam, termasuk genosid, di bawah undang-undang antarabangsa.

Menurut maklumat IIFFMM, turut termasuk dalam senarai yang didakwa sebagai pelaku (jenayah) ialah Ketua Komander Kanan Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing dan lima komander lain.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata buat masa ini, Malaysia masih kekal dengan dasarnya menerima kemasukan pelarian Rohingya kerana kebanyakan mereka memberitahu takut untuk kembali ke negara asal atas faktor keselamatan.

“Pendirian Kerajaan kami ialah kami tidak menolak orang (pelarian Rohingya) datang. Atas dasar kemanusiaan kami tidak pernah mengusir (pelarian Rohingya) keluar bot. Kami tidak mempunyai kapasiti untuk lakukan lebih dari itu, tetapi kita tidak pernah tolak, kami mahu lakukan lebih dari itu untuk membantu mereka.

“Kita faham kerisauan rakyat kita sendiri (tentang kehadiran Rohingya) namun kita tak sampai hati nak hantar mereka balik (ke Myanmar) begitu saja. Majoriti daripada mereka mahu balik cuma buat masa ini, mereka rasa tak selamat untuk balik,” katanya.

Beliau turut yakin sekiranya wujud permasalahan sosial berkaitan etnik Rohingya di negara ini seperti meminta sedekah dan sebagainya, pasti pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan sewajarnya.

Tambah Saifuddin, setakat ini, terdapat 88,880 etnik Rohingya pelbagai peringkat umur di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) namun masih ada yang tidak berdaftar dan jumlahnya tidak diketahui.

Katanya, 25 peratus daripada jumlah itu juga diberi kemudahan pendidikan yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan di beberapa lokasi tertentu.

“Contohnya, kemudahan pendidikan REC yang disediakan oleh Persatuan Jaringan Islam Global Malaysia. Walaupun sekolah ini tak sama standard dengan sekolah kebangsaan (SK), namun kurikulum yang digunakan setara dengan SK dan pertubuhan ini ada pengalaman luas dalam pentadbiran sekolah serta bidang pendidikan,” katanya.

REC yang diwujudkan sejak tahun 2006 mempunyai empat cawangan iaitu di Permatang Pauh, Pulau Pinang; Klang; Kuantan, Pahang; serta terbaharu di Gombak, dekat sini yang memberi kemudahan pendidikan kepada 724 anak etnik Rohingya bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.- Bernama