Siti Safiyah harap kehadiran Syawal beri sinar sertai kejohanan

 Siti Safiyah Amirah
Siti Safiyah Amirah
A
A
A

KEHADIRAN Syawal kali ini diharap dapat memberikan sinar buat pemain boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman untuk kembali menggegarkan arena boling antarabangsa.

Selepas hampir setahun setengah tidak dapat menyertai sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa susulan pandemik Covid-19, atlet berusia 30 tahun itu berharap situasi bertambah pulih dalam masa terdekat.

Bekas juara dunia itu juga agak risau sekiranya terlalu lama tidak menyertai kejohanan kompetitif, dirinya akan terbiasa dengan keadaan tersebut sehingga menjadi cabaran besar untuk turun bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya harap selepas Aidilfitri ini dapat menyertai beberapa kejohanan sebelum Kejohanan Asia yang ditunda ke Januari tahun depan. Saya nak beraksi dalam kejohanan kerana rasa kekok sebab dah lama sangat tak bertanding.

“Biasanya hampir setiap bulan kami ada kejohanan. Sekarang asyik duduk rumah sahaja, saya takut nanti dah terbiasa duduk rumah dan takut nak keluar (bertanding)...itu menjadi masalah,” katanya yang juga dikenali sebagai Sofy kepada Bernama.

Beliau yang membawa pulang tiga pingat perak (masters dan berpasukan wanita, serta beregu campuran) di Sukan SEA Filipina pada Disember 2019 iaitu kejohanan terakhirnya, berkata pertandingan dapat membantu atlet menyinar dengan gelaran diraih, selain meningkatkan pendapatan menerusi wang hadiah kemenangan.

Siti Safiyah yang muncul juara Terbuka Malaysia 2005 ketika berusia 14 tahun, mengakui walaupun beberapa negara seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat sudah mula menganjurkan kejohanan, arena boling antarabangsa masih ‘senyap’ sejak dilanda pandemik Covid-19.

Di Malaysia sendiri tidak ada sebarang kejohanan dianjurkan, kecuali pertandingan dalaman antara pemain kebangsaan dan pelapis pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Siti Safiyah yang bergandingan dengan Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi muncul juara acara berpasukan wanita pada Kejohanan Dunia 2017. - Bernama