Raya tetap meriah walau berjauhan dengan keluarga

Dari kanan: Norevrina, Zaiti dan Nurul Fakhriah tetap ceria menyambut hari raya walau berjauhan dengan keluarga.
Dari kanan: Norevrina, Zaiti dan Nurul Fakhriah tetap ceria menyambut hari raya walau berjauhan dengan keluarga.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Walaupun hari lebaran tahun ini disambut dalam suasana berbeza susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tetap meriah termasuk dalam kalangan perantau.

Guru, Nurul Fakhriah Setopa, 27, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan berkata, raya kali ini merupakan tahun pertama dia beraya tanpa keluarga di sisi.

"Saya baru sahaja mengajar di Johor Bahru awal tahun ini dan sempat pulang ke kampung kira-kira sebulan lalu atas urusan rawatan kesihatan ibu.

"Walaupun tidak dapat beraya di kampung bersama keluarga, saya tetap bersyukur kerana dapat menatap wajah ahli keluarga melalui panggilan video pada malam dan pagi raya," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Membuat persiapan dan menyambut hari raya bersama-sama.
Membuat persiapan dan menyambut hari raya bersama-sama.

Rakannya, Norevrina Ely Zulkafli, 35, berkata, walaupun kampungnya di Batu Pahat hanya kira-kira dua jam dari Johor Bahru, dia akur kerana tidak dapat beraya bersama keluarga kerana larangan rentas daerah.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana dapat menyambut hari raya bersama rakan-rakan serumah.

Bagi Zaiti Akhma Zainalabidin, 24, pula, pengalaman beraya buat pertama kali tanpa keluarga pastinya sukar untuk dilupakan.

Artikel Berkaitan:

"Rumah keluarga saya di Batu Pahat tapi disebabkan tidak boleh rentas daerah, saya terpaksa beraya di rumah sewa sahaja bersama rakan-rakan serumah.

"Walaupun tidak sama kemeriahannya bersama keluarga, saya tetap bersyukur kerana dapat membuat persiapan, memasak dan beraya bersama-sama," katanya.