Fenomena supermoon tengah malam ini

Fenomena Supermoon iaitu bulan penuh paling besar dan dekat dengan bumi bermula jam 11.53 malam ini.
Fenomena Supermoon iaitu bulan penuh paling besar dan dekat dengan bumi bermula jam 11.53 malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Supermoon iaitu bulan penuh paling besar dan dekat dengan bumi bermula jam 11.53 malam ini.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Zahira Mohd Radzi berkata, fenomena itu berlaku apabila titik kedudukan bulan paling hampir dengan bumi dengan jaraknya sekitar 356,761 kilometer.

Beliau berkata fenomena yang boleh dilihat dengan mata kasar itu mengakibatkan bulan kelihatan lebih besar dan jelas daripada biasa.

"Sebenarnya untuk tahun ini, fenomena ini berlaku tiga kali...yang pertama pada Januari lepas, kedua malam ini dan ketiga pada 21 Mac ini.

"Jadi bermula pada pukul 11.53 malam ini orang ramai boleh melihat bulan penuh paling besar dengan mata kasar sendiri bergantung kepada keadaan cuaca dan kawasan yang dilihat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zahira berkata fenomena itu adalah kejadian yang biasa berlaku kerana pergerakan bulan yang sentiasa mengorbit bumi setiap tahun.

Sementara itu Panel Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata kejadian Supermoon malam ini adalah sedikit kecil berbanding kejadian sama pada 14 November 2016 apabila ketika itu jaraknya lebih dekat dengan bumi iaitu 356,445 kilometer.

"Lazimnya ia (bulan) daripada segi saiz berdasarkan saiz sudut 12.5 peratus hingga 14.1 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang daripada mikromoon (kedudukan bulan paling jauh dari bumi iaitu apogee) manakala 16 peratus lebih terang daripada bulan penuh biasa," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: