3,885 kompaun langgar SOP Covid-19 di Johor

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor telah mengeluarkan sebanyak 3,885 kompaun berkaitan kesalahan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, dalam tempoh bermula 13 Jan hingga 12 Mei tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan adalah yang paling tinggi mencatatkan jumlah kompaun, iaitu dengan sebanyak 702, diikuti kawasan IPD Segamat (677), IPD Kulai (530) dan IPD Iskandar Puteri (516).

"Bagi Segamat contohnya, ia merupakan daerah kecil tapi jumlah kompaun tinggi. Oleh itu, kita akan menumpukan jalan dan laluan yang bersempadan dengan negeri lain di kawasan berkenaan, bagi memastikan tiada individu cuba merentas sempadan untuk balik beraya.

"... lebih lagi Segamat mempunyai lima jalan tikus di kawasan Felda, tetapi sekarang semuanya sudah kita tutup cuma mungkin ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan jalan itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Gemas Baru, Segamat, hari ini.

Beliau memberitahu setakat hari pertama Aidilfitri, kadar pematuhan SOP dalam kalangan penduduk negeri ini juga secara puratanya pada tahap 98 peratus.

"Ada daerah mencatatkan kadar pematuhan rendah dan ada daerah lain yang tinggi, tetapi secara purata ia 98 peratus. Tadi pun kita tengok tidak banyak kenderaan atas jalan dan kalau pun, ada cubaan (merentas) jumlahnya kecil,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: