X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Kelantan sumbang RM100,000 kepada Palestin

Ahmad Yakob
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini.

Beliau berkata perlakuan rejim Zionis bukan sahaja suatu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan bahkan telah melanggari prinsip kemanusiaan serta mencabuli dasar hak asasi tajaan barat itu sendiri.

"Saya mengikuti perkembangan secara dekat situasi yang dihadapi rakyat Palestin, perjuangan rakyat Palestin sudah tentu memerlukan doa dan munajat umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Perjuangan rakyat Palestin juga wajib disusuli dengan infak dan sumbangan daripada kita semua.

"Atas solidariti tersebut, kerajaan negeri Kelantan melalui Tabung Serambi Mekah akan menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad berkata selain itu, orang ramai juga dipelawa untuk membuat sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Tabung Serambi Mekah.

Beliau berkata sumbangan ini akan dibuka selama tujuh hari mulai hari ini hingga Rabu depan (19 Mei).

"Sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 03018010080024 (Bank Islam). Hantarkan maklumat sumbangan Al-Aqsa melalui WhatsApp kepada Mohd Roshdi Ismail (013-9015602)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Mohd Khairul Padli Baduldin berkata sebagai menyahut seruan sumbangan kepada umat Islam di Palestin, Ahmad akan membuat sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 melalui Tabung Serambi Mekah. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!