Serah juadah hari raya di SJR, raikan barisan hadapan

Dzowahir (kiri) beramah mesra bersama anggota keselamatan di SJR Tol Alor Setar Utara selepas menyerahkan juadah hari raya pada Khamis.
Dzowahir (kiri) beramah mesra bersama anggota keselamatan di SJR Tol Alor Setar Utara selepas menyerahkan juadah hari raya pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan hadapan negara yang bertugas di tiga sekatan jalan raya (SJR) di Kota Setar menerima sumbangan juadah hari raya daripada pelbagai pihak bagi mengubati 'kerinduan' suasana Aidilfitri semasa bertugas menjaga sempadan daerah ini.

Tinjauan di SJR Tol Alor Setar Utara mendapati kunjungan masyarakat yang menyerahkan sumbangan juadah seperti lemang, ketupat palas dan kuih-muih menceriakan petugas-petugas barisan hadapan negara.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani, pihaknya juga tidak terkecuali untuk melakukan perkara sama bagi menghargai pergorbanan barisan hadapan yang tidak dapat bersama keluarga meraikan hari lebaran.

"Kita meraikan petugas yang bertugas di SJR bagi menghargai pergorbanan anggota barisan hadapan kita yang begitu gigih bertugas demi menjaga masyarakat untuk mengelakkan penularan pandemik covid-19 agar tidak merebak dengan serius," katanya pada sidang akhbar di SJR Tol Alor Setar Utara pada Khamis.

Mengulas lanjut, sebanyak 30 juadah hari raya disediakan oleh Bersatu Bahagian Alor Setar untuk petugas barisan hadapan di SJR Tol Alor Setar Utara, SJR Tol Alor Setar Selatan dan SJR Kota Sarang Semut.

Sementara itu, Dzowahir berkata, kerajaan juga dicadangkan untuk memaparkan jumlah kes positif Covdi-19 di papan tanda bagi meningkatkan kesedaran di dalam masyarakat tentang seriusnya situasi pandemik tersebut di negara ini.

Menurutnya, jumlah kes positif pandemik setakat Rabu yang mencatatkan 4,765 kes perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.

"Semalam kita lihat angka sudah hampir 5,000, jadi saya menyeru seluruh rakyat agar mengambil pengajaran apa yang telah berlaku di luar negara untuk kita menjaga diri kita dan juga masyarakat sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Semoga tahun hadapan kita dapat beraya seperti biasa bersama orang yang tersayang, dan menjalani kehidupan seperti sedia kala," ujarnya.