Warga Perlis solat Aidilfitri di tanah lapang

Sebahagian penduduk setempat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian penduduk setempat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Warga Perlis kali ini mencipta kelainan apabila buat julung kalinya menunaikan solat sunat Aidilfitri di tanah lapang bagi menghayati sunnah serta mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19 berbanding solat yang dilakukan di tempat tertutup.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri itu di Dataran Istiadat, Perkarangan Istana Arau bersama kariah Masjid Arau dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco Perlis.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pada musim Covid-19 ini, solat sunat yang bermula pada pukul 8 pagi itu dilaksanakan dengan mengambil kira semua prosedur SOP dan penjarakan fizikal.

"Solat sunat Aidilfitri dibuat di tanah lapang adalah bersesuaian sepertimana yang disebut Abu Said Al-Khudri dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud bahawa Rasulullah keluar pada Hari (Raya) Aidilfitri dan Aidiladha sembahyang di tempat lapang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat Perkarangan Istana Arau di sini hari ini.

Sementara itu seorang anggota jemaah masjid, Mohd Luqman Mohd Ehsan, 42, berkata beliau bersyukur kerana kali ini beliau berpeluang melaksanakan ibadah sunat itu, biarpun dalam jumlah yang terhad.

Seorang lagi jemaah Robithoh Hanum, 64, berkata beliau sangat tersentuh apabila sempat menjalani ibadah sunat itu dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah hidupnya mengerjakan solat di perkarangan istana. - Bernama

Artikel Berkaitan: