Dua cubaan seludup dadah pada malam raya tumpas: Pengarah JSJN

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan cubaan pengedar dadah untuk menyeludup dadah ke negara jiran pada malam raya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata dua cubaan menyeludup dadah ke negara jiran ditumpaskan di Melaka dan Muar, Johor semalam.

"Pengedar dadah ini sentiasa mencari peluang, di Melaka pihak JSJN menangkap dua lelaki yang datang dari Johor cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 100.4 kilogram manakala di Muar PPM berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 84 kilogram syabu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke sekatan jalan raya (SJR) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali.

Dalam pada itu, Razarudin berkata anggota PDRM terus menggalas tanggungjawab dengan penuh kecekalan walaupun sudah 422 hari menjalankan tugasan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara, dalam memastikan rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Momentum dan semangat dalam kalangan anggota polis masih pada tahap sama namun perlu diingatkan mereka yang bertugas harus menjaga kesihatan, dari segi penugasan itu perlu ada waktu rehatnya, itu yang penting," katanya.

Beliau juga menyarankan masyarakat agar terus mematuhi SOP untuk bersama-sama memerangi penularan Covid-19 dan saranan kerajaan adalah untuk kesejahteraan, kesihatan dan ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata lawatan beliau hari ini bertujuan memberi semangat kepada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di SJR terutama pada hari pertama Syawal.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata empat SJR di sekitar Putrajaya mencukupi kerana penduduk di pusat pentadbiran ini mempunyai tahap pematuhan yang tinggi kerana kebanyakan mereka adalah penjawat awam yang jelas dengan pendekatan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19.

Setakat 12 tengah malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah memeriksa 1,168 individu dan 1,020 kenderaan serta sebanyak 30 kereta diarah berpatah balik kerana tiada surat kebenaran rentas daerah. - Bernama