10 peratus baki kluster Tanah Putih Baru belum tampil

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang meminta 10 peratus baki penduduk yang meninggalkan kawasan Tanah Putih Baru tampil menjalani ujian calitan tampil segera.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini, seramai 170 daripada 200 penduduk yang meninggalkan kawasan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 5 Mei lalu, sudah demikian.

"Kita anggarkan antara 20 hingga 30 orang lagi yang belum tampil dan meminta mereka segera membuat ujian calitan di mana-mana pusat kesihatan.

"Minggu lalu, kita lihat ramai penduduk sudah tampil membuat ujian (calitan) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah selepas pengumuman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendapati ada yang meninggalkan kediaman sebelum PKPD dikenakan di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meninjau sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur pada Khamis

Turut serta dalam tinjauan itu Setia Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Sementara itu, Abd Jalil memaklumkan sebanyak 39 sekatan jalan raya dilakukan PDRM Pahang, terutamanya di sempadan negeri dan daerah.

Jelasnya, beberapa lokasi dikenalpasti sebagai lorong tikus, bagi menghalang aktiviti rentas daerah dan negeri secara tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini PDRM Pahang sudah meluluskan 2,306 permohonan merentas daerah dan negeri kerana mempunyai alasan yang memuaskan, manakala 133 lagi permohonan terpaksa kita tolak kerana menggunakan alasan tidak logik.

"Kita juga berharap semua penduduk di Pahang dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kitab percaya Pahang boleh menjadi negeri pertama yang keluar dari masalah Covid-19 dan seterusnya diisytiharkan negeri hijau seberapa cepat yang mungkin," katanya.