X

Kindly register in order to view this article
!

Fasiliti kesihatan di Pahang belum cecah tahap maksimum

Wan Rosdy (tengah) melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur pada Khamis.
A
A

KUANTAN - Fasiliti kesihatan di Pahang masih belum di tahap maksimum dan berupaya menangani peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan sejak minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua kemudahan kesihatan, termasuk katil bagi menempatkan kes Covid-19 tidak berdepan masalah.

Menurutnya, petugas kesihatan juga sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap kes dapat dikendalikan sebaik mungkin.

"Setakat ini kapasiti katil di semua hospital di negeri ini masih mencukupi dan kita berikan jaminan semua kemudahan kesihatan di Pahang mempunyai kemampuan bagi menangani peningkatan kes Covid-19," katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur pada Khamis.

Hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Sehingga Rabu, Pahang merekodkan 63 kes positif baharu membabitkan 18 kes dari Kluster Tanah Putih; dua kes Kluster Mahkota Height; satu kes Kluster Indera Mahkota 2; sebanyak 29 kes hasil saringan kontak rapat; lapan kes saringan bergejala; empat kes saringan bersasar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan satu kes saringan pekerjaan.

Wan Rosdy berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang diadakan bertujuan untuk mengawal keadaan daripada berlaku situasi tidak terkawal.

Beliau mengakui, masih ada segelintir masyarakat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita tidak mahu keadaan menjadi diluar kawalan seperti yang berlaku di negara luar. Jadi, kita ambil tindakan awal seperti mengadakan PKP sebelum jadi lebih teruk lagi.

Mengulas mengenai rungutan orang awam mengenai lokasi sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, Wan Rosdy berkata, pemilihan setiap lokasi bagi mengadakan sekatan jalan raya dibuat selepas kajian teliti dilakukan PDRM.

"Lokasi sekatan jalan raya ini diputuskan selepas kajian dibuat, kita tidak nafikan apabila ada sekatan jalan raya, pergerakan orang ramai sedikit terganggu. Tapi tujuan utama kita buat PKP, untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.

"Kalau tidak ada sekatan jalan raya dan semua bebas ke sana ke sini, maknanya kita tidak akan berjaya mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan akhirnya menyusahkan semua pihak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan sekatan jalan raya hanyalah bersifat sementara.

"Apabila kita sudah berjaya mengawal (penyebaran) wabak Covid-19, sudah pasti kita akan dapat bergerak dengan lebih selesa dan selamat," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!